Laksamana Rohana Buktikan Pencapaian Wanita Malaysia Dalam Tentera Laut
# Inspirasi & Kerjaya (Mau Sembang)

Laksamana Rohana Buktikan Pencapaian Wanita Malaysia Dalam Tentera Laut

post by Zaki

by Zaki

Apr 9, 2021
pada 9:06 AM

Siapa kata wanita Malaysia tidak hebat dalam angkatan tentera? Buktinya, Tentera Laut Diraja Malaysia mencipta sejarah apabila buat pertama kali seorang pegawai wanitanya dinaikkan pangkat sebagai jeneral satu bintang iaitu Laksamana Pertama Rohana Jupri, 57. Pelantikan ini  telah meletakkan Rohana bersama barisan tertinggi TLDM dalam Jawatankuasa Laksamana (JLAKS) yang sebelum ini dipelopori oleh pegawai lelaki. JLAKS memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju TLDM dalam membuat keputusan.

Kenaikan pangkat tersebut juga membuktikan bahawa pegawai tertinggi TLDM mengiktiraf kemampuan dan kredibiliti anggota dan pegawai wanita pasukan keselamatan itu.  Ia juga sebagai tanda penghargaan TLDM terhadap usaha dan kemampuan yang ditunjukkan, sekali gus memberi tanggungjawab kepada beliau untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan cemerlang.

Rohana yang merupakan Pengarah Kanan Materiel di Markas Tentera Laut dan Asisten Ketua Staf (AKS) J4 (Logistik) di National Task Force (NTF) mula menyertai TLDM pada 20 Disember 1984.  Antara jawatan penting yang disandang beliau dalam TLDM ialah Pegawai Memerintah KD Sultan Abdul Aziz Shah, Pegawai Memerintah Depot Bantuan Barat, Pegawai Staf I Hal Ehwal Wanita ATM dan Pegawai Memerintah Depot Bekalan Armada Barat.

Peranan golongan wanita dalam TLDM tidak dinafikan dan penyertaan mereka juga meliputi semua kepakaran utama iaitu bekalan, pelaut dan kejuruteraan. Pada tahun 2017, Rohana turut mencatat kejayaan baharu apabila buat pertama pegawai dilantik sebagai Kepten sejak 83 tahun TLDM ditubuhkan. Sesungguhnya kejayaan yang dipamerkan oleh ibu empat anak ini boleh menjadi inspirasi pada golongan wanita di luar sana termasuk belia-belia dalam apa jua lapangan yang hendak diceburi.

Sebagai perbandingan, Tentera Laut Amerika Syarikat pertama kali melantik wanita sebagai Laksamana Pertama ialah pada tahun 1972 iaitu Laksamana Pertama Alene B. Duerk setelah mendapat perkenan daripada Presiden Richard Nixon pada masa itu. Alene merupakan Ketua Kor Kejururawatan tentera laut, dan pelantikan tersebut memecah tradisi 197 tentera laut Amerika Syarikat apabila pegawai kanan wanita dinaikkan pangkat setaraf jeneral.