5 Wanita Pertama Malaysia Ini Mampu Menandingi Kerjaya Lelaki
# Jenis Pekerjaan

5 Wanita Pertama Malaysia Ini Mampu Menandingi Kerjaya Lelaki

post by Aisya

by Aisya

Feb 3, 2018
pada 6:02 AM

Ramai wanita yang terlibat dalam bidang fesyen, kecantikan, perkhidmatan, perkeranian dan lain-lain bidang yang kurang berisiko. Ini selari dengan sifat wanita yang lembut, penyayang dan penyabar.

Namun terdapat juga segelintir wanita yang berani menyahut cabaran dan risiko menceburi bidang kerjaya yang dimonopoli oleh kaum lelaki. Misalnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan yang memerlukan ketahan mental dan fizikal yang tinggi. 

Jadi kali ini, kami telah senaraikan 5 wanita pertama Malaysia yang telah berjaya didalam kerjaya. Antaranya ialah...

1. Wanita pertama memegang jawatan Hakim Besar Malaya 

Tan Sri Siti Norma Yaakob bersara pada tahun 2007 setelah 43 tahun berkhidmat dalam profesion undang-undang. Dia juga merupakan wanita Malaysia pertama yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sebelum menjadi Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Besar Malaya pada tahun 2005. 

Pada tahun 2008, dia sekali lagi telah mencipta sejarah apabila dilantik sebagai hakim wanita pertama di negara Arab iaitu di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang beribu pejabat di Dubai. Selepas menceburi bidang kehakiman, dia berpindah pula ke bidang korporat. Antaranya ialah menjadi Pengerusi Yayasan CIMB, Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

2. Pegawai wanita pertama menyandang jawatan tertinggi dalam pasukan polis

Dato’ Zakiah Laidin merupakan pegawai wanita pertama yang menyandang jawatan tertinggi dalam pasukan polis dengan jawatan Deputi Komisioner Polis pada tahun 1992. Dia telah bersara pada tahun 1993 setelah berkhidmat selama 36 tahun. 

Kerana kredibilitinya itu, dia telah terpilih sebagai polis wanita Asia pertama menyertai kursus di Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Virginia, Amerika Syarikat selama tiga bulan pada tahun 1980. Sebagai tanda penghargaan, dia telah dianugerahkan pingat Darjah Paduka Taming Sari daripada Sultan Perak yang membawa gelaran Dato’.

3. Juruterbang pesawat perjuang wanita pertama TUDM

Lt. Kol. Emilia Kamaruddin merupakan wanita pertama menjadi juruterbang pesawat pejuang. Dia seorang yang mahir dalam mengendalikan jet-jet pejuang hebat seperti Skyhawk, Hawk, Pilatus PC-7, Aermacchi MB339 dan Aerotiga MD3. 

Emilia memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil daripada Loughborough University, United Kingdom dan Diploma dalam Pengajian Strategi dan Pertahanan daripada Universiti Malaya.

Dia menjadi juruterbang pesawat Skyhawk di Pengkalan TUDM Kelantan daripada tahun 1989 hingga 1992. Kemudian menjadi jurulatih di Pusat Latihan Terbang Satu di pengkalan TUDM Alor Setar dan merupakan wanita pertama dalam Angkatan Tentera Malaysia menjadi jurulatih penerbangan. Dia menerima penganugerahan sayap penerbangan selepas melakukan penerbangan sebanyak 170 jam.

4. Wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia

Tun Tan Sri (Dr) Hajjah Fatimah Hashim adalah seorang Menteri Kebajikan Am Malaysia pada tahun 1969 hingga 1973 dan merupakan wanita pertama Malaysia yang dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia.

Beliau  memegang Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan dan Undang-undang. Selain daripada bidang politik, beliau juga aktif dalam pergerakan sosial terutamanya dalam pertubuhan wanita. Oleh kerana kegigihannya itu, dia telah berjaya menerima anugerah gelaran ‘Tun’ dan 'Tan Sri’.

5. Wanita pertama jadi Ketua Polis Negeri

Wanita Malaysia yang turut menempa nama sebagai wanita terhebat ialah Datuk Robiah Abdul Ghani apabila dia dilantik sebagai Ketua Polis Pahang pada 2008. Robiah menyertai PDRM pada tahun 1971.

Dia telah memegang pelbagai jawatan dalam PDRM termasuk sebagai pegawai penyiasat di IPK Perak dan pegawai platun komander wanita di Ulu Kinta, Perak. Perlantikannya itu   dianggap suatu penghormatan yang mengangkat martabat golongan wanita dalam pasukan polis.