Pasport Malaysia Di Kedudukan ke-6 Paling Berkuasa. Ini Kelebihan Yang Korang Patut Tahu!
# Trending Semasa

Pasport Malaysia Di Kedudukan ke-6 Paling Berkuasa. Ini Kelebihan Yang Korang Patut Tahu!

post by Nazatul

by Nazatul

Feb 27, 2018
pada 3:43 AM

HEBAT bukan Pasport Malaysia Antarabangsa kini berada pada kedudukan keenam ‘paling berkuasa’ di dunia, menurut laporan terbaharu Passport Index 2018 yang dibangunkan oleh firma Arton Capital. Passport Index merupakan rujukan mengenai senarai semua pasport yang diberikan ranking berdasarkan jumlah negara yang boleh dikunjungi dan rakyat sesebuah negara tanpa memerlukan kebenaran visa oleh negara dilawatinya itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dalam satu kenyataan berkata pengiktirafan itu adalah sesuatu yang dijangka kerana memenuhi garis panduan ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Melihat kepada sejarah, Pasport Malaysia Antarabangsa merupakan pasport pertama di dunia dilengkapi dengan ciri keselamatan biometrik menggunakan cip,”katanya.

Ketika ini dokumen itu boleh digunakan di 157 negara tanpa visa. Selain itu, ciri-ciri pasport negara terus ditambahbaik dengan ciri keselamatan tambahan untuk memenuhi piawaian Document 9303 ICAO pada tahun 2013 dan lokasi cip dimasukkan ke dalam halaman muka surat biodata pada tahun 2016.

 

“Terkini PMA versi baharu ditambahbaik dengan mempunyai 50 ciri keselamatan tambahan dan rekabentuk yang lebih unik dengan memaparkan mercu tanda negara Malaysia serta flora dan fauna tempatan dengan menerapkan falsafah 5 prinsip rukun negara,” ujarnya.

Jelas beliau, antara ciri-ciri keselamatan tambahan itu telah menambah kebolehpercayaan rakyat dan pihak berkuasa luar bagi mengukuhkan penggunaan pasport Malaysia di luar negara.

“Selain daripada ciri-ciri keselamatan, permohonan pembaharuan PMA boleh dibuat secara dalam talian dan perkhidmatan pasport juga bertaraf dunia di mana pasport disiapkan dalam tempoh satu jam selepas bayaran, mendahului negara-negara maju di dunia,” ujarnya.

Sumber:  Kosmo Online & Utusan Online