Tak Pernah Ada Saving, Founder Ni Cerita Pengalaman Bagaimana Dia Mula Berbisnes Dengan Modal RM250 Je!
# Inspirasi & Kerjaya (Mau Sembang)

Tak Pernah Ada Saving, Founder Ni Cerita Pengalaman Bagaimana Dia Mula Berbisnes Dengan Modal RM250 Je!

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Feb 4, 2022
pada 7:04 AM

Tak Pernah Ada Saving, Founder Ni Cerita Pengalaman Bagaimana Dia Mula Berbisnes Dengan Modal RM250 Je!

Benarlah seperti kata pepatah,

 

''Kejayaan takkan datang bergolek tanpa usaha yang berterusan. Semakin lama kita menunggu menjadi pemerhati, semakin jauh kita ketinggalan...''

 

Begitulah kisah inspirasi yang dikongsikan oleh seorang wanita cekal ini, Nurul Adeline Daud atau lebih mesra dipanggil dengan panggilan Adel. Tak siapa pun boleh meramal masa depan dan siapa sangka, bermula dengan sehelai sepinggang, akhirnya Adel berjaya mengukir nama setanding dengan usahawan-usahawan lain dan menjadi seorang Founder. Ikuti kisah beliau yang pasti menjadi inspirasi kebanyakan individu di luar sana.

 

Latar pendidikan

Mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dalam Diploma Civil Engineering, Adel tidak melanjutkan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi memandangkan statusnya yang sudah berkahwin. Beliau mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

 

Isu Yang Menjadikan Beliau Viral Secara Tiba-Tiba

Pada masa itu, media sosial sedang hangat dengan kisah 'Hantaran RM20k' dan pelbagai pandangan yang dilemparkan oleh netizen mengenai isu tersebut. Ada yang menyokong, dan tak kurang juga ada yang memberi kata-kata negatif seperti yang dilakukan oleh Adel menerusi videonya. Akibat video tersebut, Adel akhirnya viral dan bermula dari situlah beliau menjadi perhatian ramai dan sering menjadi bualan netizen di media sosial. 

Video viral 

Kredit video: Metro TV Malaysia

 

Menerusi video ini, Adel sekadar berkongsi dengan followers bahawa dia tak bersetuju mengenai isu tersebut:

''Buat apa hantaran mahal-mahal kalau akhirnya dapat suami kaki pukul, curang, kaki perempuan, tiada guna. Hantaran saya RM13, 188, ikut tarikh lahir sendiri.​ Tapi buat apa? Last-last saya bercerai jugak dan terpaksa balik kampung sehelai sepinggang.''

 

Derita Dipukul Suami

"Sebulan lepas kahwin, barulah keluar perangai sebenar yang dia ni sebenarnya seorang yang panas baran. Bekas suami pernah pukul saya menggunakan tukul sampai saya terpaksa menerima 5 jahitan di kepala. Bayangkan, pada masa hidup terseksa dengan kelakuan suami, saya tertekan dengan hidup saya sendiri. Sudahlah saya cuma seorang suri rumah, memang takde sumber pendapatan langsung.

Saya pernah terfikir nak bekerja semula tapi memandangkan status saya yang dah berkahwin ni, kebanyakan majikan reject. Maklumlah, kerja dalam bidang saya ni tak menentu. Ada yang kena outstationlah, pergi sitelah. Jadi kalau boleh mereka lebih prefer yang belum berkahwin. Masa tu memang murung dan down sangat sampaikan saya pernah cuba nak bunuh diri sebab terlalu putus asa dengan hidup. Bila dah hari-hari tertekan, saya ambil keputusan untuk berpisah dengan bekas suami.''

 

Bangkit Daripada Kemurungan Hidup

''Saya ambil masa yang sangat lama untuk recover daripada kemurungan yang saya alami. Dalam 4 ke 5 bulan saya berkurung dan menangis di dalam bilik sebab terlalu sedih. Kemurungan saya sangat teruk sampaikan saya pernah dimasukkan ke dalam hospital dan berjumpa dengan psikiatri untuk mendapatkan rawatan.''

 

Bergantung 100% Pada Bekas Suami, Bagaimana Adel Boleh Bangkit?

''Saya memang betul-betul takde duit masa tu, simpanan takde apapun takde. Bayangkan umur 28 tahun tapi harta apapun takde. Yang ada masa tu cuma RM250 dalam tangan. Bermodalkan RM250 itulah saya beli sabun madu kelulut yang pakcik saya jual. Saya pakai dan memang berkesan. Bila tengok sabun ni macam ada potensi, saya minta tolong Umi untuk belikan smartphone untuk tujuan promosi secara online. Kemudia, saya tambah lagi 30 ketul sabun madu kelulut tu dan jual di FB. Saya buat semuanya sendiri daripada kotak sampailah tampal sticker dan postage. Alhamdulillah, kini saya mempunyai 7 produk saya sendiri. Memang betul-betul rezeki saya sebab tak sampai setahun, saya berjaya memperoleh apa yang saya miliki sekarang ni.''

 

Sebelum buat produk, pernah tak bekerja di mana-mana?

''Pernah, saya pernah bekerja di The Body Shop, Cosway, jadi tukang masak pun pernah. Pendek kata, saya gunakan semua kemahiran yang saya ada asalkan saya boleh dapat dapatkan duit. Walaupun saya ada Diploma dalam Civil Engineering, saya tak pernah berpeluang untuk menggunakan kemahiran saya dalam bidang tu sebab susah sangat nak dapatkan kerja dalam bidang tu. Tapi tulah, saya penat-penat kerja, duit gaji semuanya suami saya ambil...''

 

Ada Rasa Penyesalan Sebab Ambil Bidang Civil Engineering?

''Saya minat dalam bidang ni. Cuma saya tidak pernah berpeluang untuk bekerja dalam bidang tu. Masa tu memang rasa fed up dan give up sebab susah nak dapat kerja. Macam yang saya cakap tadi, majikan ramai taknak orang yang dah berkahwin sebab susah nak travel.''

 

Nasihat Bagi Graduan Yang Terlalu Memilih Kerja?

''Nasihat saya, zaman sekarang ni tak perlulah memilih kerja sebab pengalaman kerja sangat penting. Kalau dapat je peluang kerja, grab je terus sebab peluang takkan datang dua tiga kali.''

Tak siapa menyangka, daripada tiada apa-apa, akhirnya wanita ini berjadi menjadi seorang usahawan yang berjaya dan semakin dikenali ramai. Produknya bukan saja dipasarkan di Malaysia, malah sudah pun dipasarkan di luar negara seperti Brunei, Singapura dan juga Indonesia. Produknya ini tidak menggunakan sebarang marketing besar-besaran, cukup hanya menggunakan FB saja.

Tambahnya lagi, kejayaan bagi dirinya adalah bagaimana dia berjaya keluar dan survived daripada pengalaman pahit hidupnya. ''Bermula daripada zero, akhirnya saya bangkit dan kisah-kisah silam saya berjaya menjadi inspirasi dan semangat kepada orang lain. Itulah kejayaan paling 'mahal' bagi diri saya.''