Tiada Medical Certificate (MC) Di Jepun? - Pengalaman Bekerja Di Jepun
# Jenis Pekerjaan # Pengetahuan Pekerja

Tiada Medical Certificate (MC) Di Jepun? - Pengalaman Bekerja Di Jepun

post by MJ

by MJ

Apr 13, 2022
pada 6:00 AM

Tiada Medical Certificate (MC) Di Jepun? Ikuti Pengalaman Bekas Pekerja Jepun Ini

Oleh - Ikhmal

“Medical Certificate” atau lebih dikenali sebagai MC dalam bahasa Melayunya disebut sebagai sijil cuti sakit yang diberikan oleh doktor yang diakui. Sijil cuti sakit ini boleh diberikan kepada seseorang apabila dia menghidap penyakit dan tidak mampu meneruskan apa-apa urusan sehariannya seperti pekerjaan mahupun pelajaran.  Jika di Malaysia, kita mudah sahaja untuk mendapatkan MC daripada doktor. Namun, tahukah korang bahawa terdapat beberapa negara yang tidak ada istilah MC ketika bekerja? Haa sudah, sakit-sakit pun kena kerja ke?

Seorang pengguna Youtube, Asraff Jeffery tampil berkongsi pengalamannya yang tidak dapat MC ketika bekerja di Jepun. Ikuti pengalaman beliau di bawah!

Menurut Asraff, pejabat di tempat dia dan kawan-kawannya bekerja semasa di Jepun tidak mempunyai istilah MC. Mesti korang terkejutkan? Semasa Asraff bekerja di Fukuoka dulu, dia pernah mengalami sakit pada bahagian rahang sehingga akhirnya dia demam. Pagi tu, dia memberitahu senior di tempat kerja bahawa dia tak dapat hadir ke pejabat sebab sakit sangat. 

Setelah itu, senior tersebut memberitahu bahawa dia perlu pergi ke hospital untuk buat pemeriksaan. Kemudian, Asraff bertanya cara untuk memohon cuti, namun senior tersebut memberitahu bahawa sakit seperti itu tidak perlu mohon cuti pun.

Oleh itu, Asraff pun pergi ke hospital dan doktor memberitahu berkaitan penyakit yang dialami olehnya serta mencadangkan ubat untuk dibeli dia. Setelah itu, Asraff pun bertanya kepada doktor untuk meminta kebenaran mengambil MC. Namun, doktor tersebut seakan pelik dengan pertanyaan tersebut dan tidak melayan pertanyaan Asraff.

Setelah selesai urusan dengan doktor, Asraff ambil surat cadangan ubat yang diberikan dan pergi ke farmasi. Semasa di farmasi, dia bertanya sekali lagi kepada ahli farmasi tersebut berkaitan MC. Namun ahli farmasi itu juga menunjukkan reaksi pelik seakaan doktor tadi. Akhirnya, Asraff tidak mendapat MC daripada hospital tersebut.

Keesokan harinya, Asraff pergi ke pejabat seperti biasa kerana kesihatannya sudah membaik. Tidak lama kemudian, pengurus di tempat kerjanya pun bertanya berkaitan keadaan kesihatannya. Dia tidak bertanya langsung berkaitan MC dan cuti tahunan Asraff juga tidak ditolak oleh syarikat tersebut.

Menurut Asraff, antara punca tiada budaya MC di Jepun adalah kerana masyarakat Jepun sangat dedikasi dengan pekerjaan mereka. Masyarakat Jepun juga tidak suka menipu dalam pekerjaan. Meskipun mereka sakit, mereka tetap datang ke pejabat untuk bekerja.

Oleh itu, sekiranya seseorang didapati sakit, mereka hanya perlu berehat seketika dan sambung bekerja keesokan harinya. Tak perlu pun minta MC sebab pengurus dan majikan percaya bahawa anda tidak akan menipu berkaitan sakit.

Sumber: Youtube