Cuti Bersalin Dan Cuti Paterniti Adakah Akan Dibayar? Ketahui Semuanya
# Pengetahuan Pekerja

Cuti Bersalin Dan Cuti Paterniti Adakah Akan Dibayar? Ketahui Semuanya

post by Maukerja Team

by Maukerja Team

Jul 8, 2024
pada 6:05 PM

Cuti Bersalin Dan Cuti Paterniti Adakah Akan Dibayar? Ketahui Semuanya

Salah satu faedah cuti yang digariskan khas untuk para pekerja adalah Cuti Bersalin bagi pekerja wanita dan Cuti Paterniti kepada pekerja lelaki. Menariknya tentang Cuti Bersalin dan Cuti Paterniti ini adalah hak mutlak pekerja dan ia merupakan cuti berbayar kepada pekerja.

Hak Cuti Bersalin dan Cuti Paterniti

Jika dilihat pada Akta Kerja 1955, terdapat satu bahagian khas yang diperuntukkan dan menerangkan tentang faedah cuti bersalin kepada pekerja wanita yang mengandung. Pada Bahagian 9 – Kehamilan dan Bersalin, Seksyen 1(a) ada menerangkan bahawa:

“Setiap pekerja wanita hendaklah berhak-

i) mendapat cuti bersalin bagi suatu tempoh kelayakan bagi setiap kali bersalin; dan

ii) tertakluk kepada Bahagian ini, menerima daripada majikannya suatu elaun bersalin yang dikira atau ditetapkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (2) bagi tempoh kelayakan itu.”

Kemudian di bawah pindaan 2022 yang dibuat pada Akta Kerja 1955, ia turut meningkatkan jumlah hari cuti bersalin pekerja wanita daripada 60 hari kepada 98 hari. Ia dibuat untuk tujuan memberi perlindungan kepada hak wanita sama seperti diamalkan oleh kebanyakan negara lain.

Seterusnya, di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 juga turut menerangkan tentang hak Cuti Paterniti untuk pekerja lelaki. Pada Seksyen 60FA akta sama menggariskan bahawa:

“Tertakluk kepada subseksyen (3), seorang pekerja lelaki yang berkahwin hendaklah layak kepada suatu cuti paterniti berbayar pada kadar upah biasannya di suatu tempoh tujuh hari berturut-turut bagi setiap kali isterinya bersalin.”

Berdasarkan penerangan di atas, dapat disimpulkan bahawa pekerja lelaki layak untuk mendapat cuti selama 7 hari berturut-turut setiap kali isteri bersalin. Namun, terdapat beberapa syarat kelahiran yang turut sama digariskan. Penetapan syarat adalah seperti berikut:

  • Cuti Paterniti ini dihadkan kepada 5 kali kelahiran tanpa mengira bilangan isteri.
  • Pekerja mesti telah berkhidmat dengan majikan yang sama sekurang-kurangnya 12 bulan.
  • Pekerja mesti maklumkan kepada majikan mengenai isterinya 30 hari dari tarikh dijangka bersalin atau seawal mungkin selepas bersalin.

Sebagai makluman, penambahan jumlah Cuti Paterniti dari 3 hari kepada 7 hari ini dibuat selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menitikberatkan konsep mengutamakan keluarga bagi pekerja lelaki.

Melaluinya, pekerja lelaki boleh memanfaatkan masa cuti untuk mendaftar anak dan menjaga isteri ketika sedang berpantang. Selain itu, tempoh cuti ini juga boleh dimanfaatkan oleh pekerja lelaki untuk membuat sebarang persediaan menjaga anak.

Bayaran Cuti Bersalin dan Cuti Paterniti

Seperti dijelaskan pada bahagian atas, Cuti Bersalin dan Cuti Paterniti ini merupakan faedah cuti berbayar kepada pekerja. Ini bermakna majikan perlu dan wajib membayar gaji pekerja dengan kadar yang sama walaupun mereka sedang bercuti.

Antara penetapan yang menerangkan bahawa pekerja wanita yang mengambil Cuti Bersalin layak menerima pembayaran elaun semasa bercuti boleh dilihat pada Seksyen 38, Akta Kerja 1955. Padanya telah dinyatakan majikan perlu bayar elaun seolah-olah sama dengan upah yang diperolehi dalam tempoh upah.

Mudahnya di sini adalah majikan mestilah dan pekerja wanita itu layak untuk menerima pembayaran elaun ketika bersalin, dan tempoh pembayaran elaun itu adalah untuk tempoh 1 bulan kerana tempoh upah yang ditetapkan adalah sebulan perkhidmatan.

Kesnya sama untuk Cuti Paterniti lelaki di mana majikan wajib untuk membayar pekerja pada kadar upah biasa yang dipersetujui semasa pekerja itu bercuti. Dalam kata mudahnya, sungguhpun pekerja bercuti, gajinya tetap berjalan seperti biasa.

Faedah Cuti Bersalin dan Cuti Paterniti ini merupakan hak pekerja yang majikan perlu hormati. Sungguhpun pekerja sedang bercuti, ini tidak bermakna majikan boleh memotong gaji pekerja sesuka hati ataupun memberhentikan pekerja kerana tidak hadir bekerja. Oleh itu, cuti bersalin dan paterniti harus dibayar gaji untuk memastikan hak dan kesejahteraan pekerja terjaga.

Ada yang dah penat ke asyik hantar resume tapi tak dipanggil-panggil untuk interview? Takpe korang klik je link ni dan biar majikan pula yang cari korang!


drop resume

Pekerjaan Terkenal:

Panduan Kerjaya:

Lokasi: