Akaun 3 KWSP: Ini Had Pengeluaran Harian Yang Korang Wajib Tahu
# Pengetahuan Pekerja # Trending Semasa

Akaun 3 KWSP: Ini Had Pengeluaran Harian Yang Korang Wajib Tahu

post by Ani

by Ani

May 15, 2024
at 2:43 PM

Akaun 3 KWSP: Ini Had Pengeluaran Harian Yang Korang Wajib Tahu

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menetapkan had maksimum pengeluaran wang daripada Akaun 3 KWSP atau dikenali juga sebagai Akaun Fleksibel secara terus sebanyak RM250 sehari, dengan minimum RM50. Had ini bertujuan untuk mengawal aliran keluar wang simpanan ahli bagi memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.

Menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bayaran akan dibuat secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank ahli. Bagi ahli yang ingin mengeluarkan wang lebih daripada RM250 sehari, mereka perlu melalui proses e-KYC (electronic Know-Your-Customer).

Secara amnya, ahli tidak perlu hadir di Pejabat KWSP untuk tujuan ini kerana pengesahan identiti boleh dibuat secara dalam talian, tertakluk kepada sejarah rekod ahli dan amaun pengeluaran tidak melebihi RM30,000. Namun, bagi ahli yang tiada rekod pengeluaran atau maklumat akaun bank yang berbeza dengan rekod pengeluaran terdahulu, mereka perlu mengesahkan identiti melalui:

  • Pengesahan cap ibu jari di Self-Service Terminal (SST) KWSP bagi amaun permohonan pengeluaran lebih RM10,000; atau
  • Pengesahan dalam talian tertakluk kepada amaun permohonan pengeluaran kurang daripada RM10,000.

pengeluaran kwsp

Proses e-KYC adalah satu proses pengesahan identiti secara elektronik melalui teknologi pengecaman wajah di aplikasi KWSP i-Akaun. Ini memudahkan ahli untuk mengesahkan identiti mereka tanpa perlu hadir secara fizikal ke cawangan KWSP.

Sebelum ini, KWSP telah mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel. Simpanan dalam Akaun Fleksibel, iaitu 10 peratus daripada caruman setiap bulan, boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar. Namun, bagi pencarum yang ingin mengeluarkan simpanan dalam Akaun Sejahtera (akaun 2) dan memasukkannya ke dalam Akaun Fleksibel (akaun 3), mereka boleh berbuat demikian menggunakan aplikasi i-Akaun. Walau bagaimanapun, tidak semua wang dalam simpanan Akaun Sejahtera boleh dipindahkan kerana ia tertakluk kepada perkiraan tertentu.

Pencarum dibenarkan membuat pemindahan akaun hanya sekali sahaja bermula hari ini sehingga 31 Ogos ini. Langkah ini diambil untuk memastikan pencarum dapat mengurus simpanan mereka dengan lebih baik dan teratur.

Dengan adanya had pengeluaran ini, KWSP berharap ahli dapat merancang kewangan mereka dengan lebih bijak dan memastikan simpanan mereka mencukupi untuk kegunaan masa depan.


ATS Maukerja

Pekerjaan Terkenal:

Panduan Kerjaya:

Lokasi: