Jika Jadi Polis Tidak Cukup Mencabar, Apa Kata Sertai 69 Komando
# Others

Jika Jadi Polis Tidak Cukup Mencabar, Apa Kata Sertai 69 Komando

post by Zaki

by Zaki

Mar 31, 2021
pada 11:27 PM

Bagi mereka yang tidak tahu, pasukan Polis Diraja Malaysia mempunyai sebuah unit elit atau komando yang kecekapannya setanding dengan pasukan negara luar iaitu 69 Komando. 69 Komando yang berpengkalan di Kem Ulu Kinta, Perak telah melalui pelbagai sejarah getir khususnya semasa memerangi pengganas komunis sejak tahun 70an sehinggalah peletakan senjata komunis pada 1989.

Semasa awal penubuhannya pada Oktober 1969, kira-kira 60 orang daripada ribuan pegawai dan anggota Pasukan Polis Hutan (kini Pasukan Gerakan Am) terpilih pada sesi pemilihan awal.

Mereka ini kemudian menjalani latihan asas komando kendalian jurulatih unit komando tentera British, Special Air Service Regiment (SAS) di Fort Kemar, Gerik, Perak. Di akhir latihan hanya 30 orang sahaja diambil menganggotai trup nukleus 69 Komando.

Untuk menyertai pasukan ini bukanlah mudah kerana selain kelasakan fizikal, calon juga hendaklah memiliki ketahanan mental yang tinggi untuk bergelar anggota komando.

Syarat asasnya, seseorang itu mestilah telah menyertai polis sama ada pegawai atau anggota biasa. Ketinggian pula hendaklah tidak kurang daripada 165 cm, memiliki pendengaran dan penglihatan baik. Calon juga mestilah boleh berenang, bebas penyakit kronik seperti buasir, batu karang, tekanan darah tinggi, jantung, asma dan lain- lain serta kecederaan akibat kemalangan.

Keutamaan juga kepada calon yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik. Ya lah, sebab sebagai komando mereka juga sering terbabit dalam latihan dengan komando-komando luar negara. Mereka yang berjaya melepasi ujian dan apabila diserapkan ke 69 Komando layak menikmati kemudahan dan elaun seperti elaun 69 Komando sebanyak RM600 hingga RM900 sebulan, elaun Pasukan Gerakan Am (RM400), elaun penyelam (RM100) dan peluang menghadiri kursus atau tugas luar negara.

Setelah bergelar komando, latihan tidak habis di situ sebaliknya mereka sentiasa berlatih untuk mempersiapkan diri agar bersedia mendepani cabaran ketika ini dan pada masa hadapan. Dalam komando tiada istilah ‘tempat kedua’, sebaliknya mesti menjadi juara atau pemenang kerana jika tidak, itu bermakna tewas semasa operasi.