10,000 Pekerja Malaysia Airport Tidak Akan Dibuang Walaupun Ekonomi Sukar
# Pengetahuan Pekerja

10,000 Pekerja Malaysia Airport Tidak Akan Dibuang Walaupun Ekonomi Sukar

post by Zaki

by Zaki

Apr 28, 2021
pada 7:34 AM

Dalam situasi ekonomi tidak menentu ketika ini, tindakan pembuangan pekerja oleh majikan adakalanya tidak dapat dielakkan antaranya atas faktor mengelak syarikat menanggung kerugian. Tindakan buang pekerja juga turut dilakukan untuk menyelamatkan syarikat agar ada kumpulan pekerja lain tidak dibuang dan diselamatkan. Namun, ada juga majikan yang mengambil pendirian enggan membuang pekerja atas sebab-sebab yang pelbagai sepertimana Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) apabila tidak bercadang melaksanakan pembuangan pekerja walaupun berdepan situasi mencabar akibat penularan Covid-19.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya tekad menjaga dan memastikan kebajikan kira-kira 10,000 pekerja pengendali lapangan terbang berkenaan terbela.  Menurut beliau, bilangan penerbangan kapal terbang termasuklah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan antara lapangan terbang paling sibuk sebelum ini mula menurun sejak tahun lepas.

"Buat kali pertama, kita tidak untung namun kita anggap ia cabaran bagaimana untuk menguruskan lapangan terbang dengan sebaiknya termasuk tentang kebajikan kakitangannya. Ini yang kita bincang di peringkat atas.

"Seperti semua sedia maklum ada syarikat besar didapati mengambil jalan mudah iaitu apabila bisnes tiada maka mereka menutup kilang, menutup syarikat atau membuang pekerja, itu cara paling mudah," katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Asas #MYAirportCARES di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini baru-baru ini.

Semua pihak pengurusannya MAHB berusaha bersungguh-sungguh memastikan supaya kebajikan pekerja dapat dipertahankan dan dijaga elok. Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB berusaha dan ada membuat beberapa langkah dalam memastikan hal-hal berkaitan dengan pekerja dijaga dengan sebaik-baiknya.

Bagaimana pun, nasib peruncit kecil di lapangan terbang adalah sebaliknya apabila ada yang terpaksa gulung tikar namun ada masih bertahan. Ini kerana apa-apa sahaja berkaitan dengan aktiviti penerbangan tempatan atau luar negara pastinya terjejas dengan keadaan semasa, bagaimanapun pihak lapangan terbang sama-sama mengambil langkah untuk mengatasinya.  Paling mustahak adalah mengambil langkah-langkah untuk memastikan semua ekosistem yang berkaitan bidang perniagaan ini kita dapat bekerja bersama-sama.

Pada tahun lalu, AirAsia Bhd dan AirAsia X Bhd terpaksa memberhentikan 10 peratus daripada keseluruhan 24,000 tenaga kerjanya minggu lalu. Langkah pemberhentian pekerja itu terpaksa dilakukan berikutan realiti sektor penerbangan yang sukar pulih dalam masa terdekat ini.  Industri penerbangan juga dijangka kembali meningkat secara beransur-ansur pada 2021 di semua pasaran utamanya dengan potensi pemulihan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang.