Sebelum Pilih Untuk Kurangkan Caruman KWSP Kepada 8%, Kena Ambil Kira 3 Faktor Ni Dulu
# Jenis Pekerjaan # Gaya Hidup # Pengetahuan Pekerja # Pengetahuan Interview

Sebelum Pilih Untuk Kurangkan Caruman KWSP Kepada 8%, Kena Ambil Kira 3 Faktor Ni Dulu

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Sep 11, 2017
at 4:04 AM

Semua sedia maklum bahawa kerajaan telah umumkan pengurangan caruman KWSP pekerja kepada 8% daripada 11%. Pekerja mempunyai dua pilihan sama ada nak kurangkan caruman kepada 8% atau kekalkan caruman di kadar 11%.

Tujuan kerajaan berbuat demikian adalah bagi merangsang ekonomi tempatan dengan membolehkan rakyat mempunyai lebih pendapatan untuk dibelanjakan.

Pasti ramai yang berasa lega dan memilih untuk mengambil caruman KWSP sebanyak 8% saja. Betul, tak? 

Nanti dulu. Sebelum korang mengambil keputusan untuk mengambil caruman KWSP 8%, ambil kira 3 faktor ni terlebih dulu.

1. Simpanan berkurang

Bak kata pepatah, “sikit-sikit lama-lama jadi bukit”. Begitulah cara faedah kompaun (compound interest)  digunakan untuk caruman KWSP anda. Faedah kompaun adalah kadar yang dikenakan ke atas jumlah asas dan juga faedah yag terkumpul. Ini bermakna anda akan memperoleh lebih pulangan dari caruman anda. Namun, kelebihan ini tidak dapat dinikmati sepenuhnya apabila anda mengurangkan caruman ke 8%. Anda mungkin berfikir bahawa jumlah 3% itu tidak cukup banyak mana. Namun, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini dan kadar jangka hayat yang lebih panjang, setiap sen dan ringgit boleh memberi impak yang besar untuk membantu anda menghadapi hari-hari selepas bersara nanti.

Sebagai contoh, katakan gaji bulanan anda sebanyak RM 5,000. Maka, caruman 11% KWSP adalah sebanyak RM 550. Dengan kadar 8%, caruman anda berkurangan kepada RM 400 dan anda akan memperoleh lebihan RM 150. Anda boleh menyimpan lebih banyak dengan mengekalkan kadar caruman 11% kerana faedah kompaun akan memberi anda pulangan lebih banyak.

Jadi, sebelum anda membuat keputusan untuk mengubah kadar caruman, semak kembali samada anda benar-benar memerlukan duit lebih, conthonya RM 150 tersebut. Jika RM150 hanya akan digunakan untuk memenuhi kehendak berbanding keperluan, kami nasihatkan agar anda mengekalkan kadar caruman 11% tersebut untuk manfaat masa hadapan anda.

Pengurangan 3% itu juga tidak berbaloi, terutama sekali apabila anda mengambil kira pengurangan dividen yang anda bakal terima.

2. Menjejaskan matlamat kewangan jangka panjang

Anda perlu fokus untuk matlamat jangka panjang anda berbanding kepuasan segera dengan memiliki lebihan wang. Seperti mana yang dibincangkan sebelum ini, pengurangan 8% caruman membuatkan anda memiliki 3% baki tersebut dalam bentuk tunai. Namun begitu, harus diingat bahawa 3% itu bukanlah jumlah yang besar (seperti RM150 dalam contoh diatas).

Kami cadangkan agar anda peruntukkan jumlah yang lebih untuk persedian persaraan anda. Untuk makluman, ramai rakyat Malaysia tidak mampu untuk bergantung kepada caruman KWSP semata-mata untuk menampung perbelanjaan selepas bersara, dan mengurangkan caruman bakal menjejaskan lagi simpanan anda! Jika gaya perbelanjaan anda selama ini masih boleh diteruskan tanpa perlukan lebih wang, kami nasihatkan agar anda kekalkan caruman pada kadar 11%.

3. Mudah leka dengan perbelanjaan 

Anda sememangnya boleh menikmati lebih wang apabila mengurangkan caruman kepada 8%. Namun, anda juga harus ingat, ini adalah untuk tempoh yang sekejap sahaja (Sehingga akhir 2017). Cuba bayangkan apa yang akan terjadi selepas itu. Anda perlu menyesuaikan kembali perbelanjaan anda dan ianya bukanlah satu perkara yang mudah.

Apa-apapun, sebelum membuat keputusan, kalau boleh cuba buat keputusan dengan mengambil kira tentang masa depan. Jangan sekadar pandang kesusahan yang korang hadapi sekarang. Sementara masih boleh bekerja ni lah korang kena buat simpanan banyak-banyak. Nanti bila dah tak mampu nak bekerja, duit simpanan yang korang guna masa kerja dululah yang membantu korang untuk hidup senang nanti. Renung-renungkan, ya!