MUIP Tawar Bantuan Guaman Tuntut Nafkah PERCUMA Untuk Ibu Tunggal & Isteri Ditinggalkan
# Gaya Hidup # Trending Semasa

MUIP Tawar Bantuan Guaman Tuntut Nafkah PERCUMA Untuk Ibu Tunggal & Isteri Ditinggalkan

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Mar 5, 2018
at 1:27 AM

Isu penceraian yang berlaku sekarang ni sudah seperti menjadi satu kebiasaan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Menurut sumber yang dipetik daripada portal rasmi Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, dalam kes keluarga syariah yang dikendalikan oleh JBG Januari 2018, statistik menunjukkan kes penceraian mencatatkan 236 kes, diikuti oleh kes nafkah 78, jagaan 74 dan kes-kes yang lain.

Sumber dipetik daripada: Jabatan Bantuan Guaman Malaysia

 

Sehubungan dengan itu, semalam Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menawarkan khidmat bantuan guaman tuntutan nafkah secara percuma bagi golongan ibu tunggal dan isteri yang ditinggalkan suami. 

''Majlis Ugama Islam Pahang akan membiayai bayaran khidmat bantuan guaman bagi tuntutan nafkah asnaf zakat (fakir miskin) daripada kalangan wanita yang masih bergelar isteri tetapi ditinggalkan tanpa nafkah juga isteri-isteri yang tidak diberikan nafkah dalam perkahwinan sehingga kedua-dua golongan ini terpaksa memohon bantuan zakat daripada Majlis bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama anak-anak. Khidmat bantuan ini juga merangkumi tuntutan nafkah bagi anak-anak wanita kedua-dua golongan ini,'' jelas Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Bantuan khas untuk golongan asnaf zakat (fakir miskin) itu diwujudkan setelah MUIP mengesan terdapat ramai yang memerlukan khidmat tersebut namun tidak tahu cara untuk mendapatkannya. Menurut pihak MUIP, tahun lalu mereka telah menerima 17,500 borang permohonan bantuan zakat di mana mereka mengalami masalah tidak menerima nafkah daripada suami dan bekas suami. 

“Idea untuk mengadakan bantuan khidmat guaman ini terhasil berikutan penelitian terhadap lambakan permohonan bantuan zakat yang diterima oleh Majlis Ugama Islam Pahang terdiri daripada golongan tersebut. Mereka yang memerlukan khidmat tersebut boleh menyatakan dalam borang Bantuan Zakat Majlis yang dipohon di ruangan yang disediakan. Kebanyakan daripada mereka adalah wanita yang mempunyai anak di bawah umur dan tidak mempunyai pekerjaan tetap atau tidak bekerja.

Justeru, Majlis mengharapkan khidmat bantuan guaman ini dapat membantu mengembalikan hak isteri dan anak-anak seterusnya dapat mendidik masyarakat khususnya para suami dan bapa supaya lebih bertanggungjawab dan mengambil berat mengenai keperluan isteri serta anak-anak,'' katanya.

 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh rujuk terus ke laman web rasmi MUIP.