Imej Kru Produksi Buruk Gara-gara Insiden Rosakkan Fosil Berusia Jutaan Tahun
# Others

Imej Kru Produksi Buruk Gara-gara Insiden Rosakkan Fosil Berusia Jutaan Tahun

post by Zaki

by Zaki

Apr 2, 2021
at 11:48 AM

Benarlah kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek dan jika masuk kandang harimau pula mengaum bermaksud seseorang itu hendaklah pandai membawa diri jika berada di tempat orang. Malangnya, sikap tidak sensitif semasa berada di tempat orang menyebabkan kelakuan sekumpulan kru produksi drama dari Kuala Lumpur yang menceroboh masuk ke Gua Matsoorat dekat Gunung Lang di Ipoh, Perak sehingga merosakkan fosil berusia jutaan tahun.

Terdapat kesan kerosakan seperti diusik pada gigi fosil mamalia herbivor itu selain menjumpai kesan lilin pada batu gua, kertas tisu dan juga pelitup muka yang dibuang sesuka hati. Tindakan syarikat produksi drama berkenaan yang tidak jujur apabila hanya memohon kebenaran untuk melakukan penggambaran di kawasan luar gua serta sekitar bandar raya Ipoh sahaja dan berjanji mematuhinya, sebaliknya kru penggambaran itu memasuki kawasan warisan bersejarah berkenaan.

Sebenarnya kawasan ini tidak boleh dimasuk sesuka hati berikutan usaha untuk menjadikan Gua Matsoorat sebagai geotapak ke-19 dalam Geopark Lembah Kinta, jadi tindakan kru berkenaan dilihat sebagai serius dan sepatutnya tidak berlaku. Malah, kejadian itu mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah apabila mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) melakuikan siasatan dalaman bagi mendapatkan gambaran terperinci berhubung insiden itu.

Ini kerana pihak kerajaan juga merasa kecewa di atas kejadian tersebut kerana pencerobohan itu telah merosakkan khazanah alam. Sepatutnya pihak kru produksi kena berhati-hati kerana isu pencerobohan seperti ini adalah serius apatah lagi melibatkan sebuah kawasan bersejarah.

Disebabkan tindakan tersebut, FINAS mungkin akan membuat saranan melalui pasukan penguat kuasa dari Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas bagi memantau kerja penggambaran seterusnya akan membuat penilaian terhadap syarat-syarat yang perlu dipatuhi pihak produksi sebelum dikeluarkan Surat Perakuan Penggambaran (SPP).

Kerajaan negeri Perak juga sedang meneliti untuk mengenakan penalti atau membayar kos pemuliharaan terhadap syarikat produksi drama tersebut yang bertanggungjawab atas kerosakan fosil dan dinding Gua Matsoorat. Apa yang terjadi perlu diambil iktibar kerana hal berkaitan khazanah dan warisan adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan kerana sekali ia rosak, susah untuk kita memuliharanya semula. Yang pasti, ia telah memberi imej negatif pada nama baik petugas kru produksi.