Gaji Rendah, CUEPACS Minta Kerajaan Semak Gaji Kakitangan Kerajaan
# Pengetahuan Pekerja

Gaji Rendah, CUEPACS Minta Kerajaan Semak Gaji Kakitangan Kerajaan

post by Zaki

by Zaki

Apr 8, 2021
at 11:44 PM

Bekerja sebagai kakitangan kerajaan memang menjadi idaman dalam kalangan golongan pencari kerja terutamanya disebabkan pekerjaan yang terjamin, gaji selain pelbagai kemudahan yang disediakan. Kakitangan kerajaan dibayar gaji secara sistematik dengan kenaikan tahunan yang tetap sepertimana mengikut skim yang diputuskan. Selain itu, skim pencen iaitu bayaran yang diterima selepas bersara dilihat sebagai jaminan jangka panjang.

Bagaimana pun, pasti ramai yang tidak tahu bahawa skim gaji kakitangan kerajaan ketika ini adalah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang telah digunakan sejak 19 tahun lalu dan tidak pernah dikaji. SSM menngantikan Sistem Saraan Baru (SSB) sebelumnya, Ini kerana tangga gaji yang diberi sekarang adalah mengikut nilai pada masa lalu, cuma ada yang ditambah baik seperti melakukan anjakan gred.

SSM mengunakan penilaian berasaskan kemahiran telah membuat beberapa peningkatan dalam Sistem Saraan Baru (SSB)seperti perubahan sistem penilaian prestasi dan Anugerah perkhidmatan cemerlangpeningkatan peluang kemajuan kerjaya, pengubahsuaian struktur gaji dan elaun serta peningkatan syarat-syarat perkhidmatan.

Sebab itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpendapat sudah tiba masanya bagi kerajaan mengkaji semula skim sedia ada itu bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa. Kajian secara serius perlu dilakukan bagi menyemak semula SSM agar hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

SSM telah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam sejak November 2002 bagi menambah baik skim saraan tetapi sehingga kini ia tidak pernah dikaji atau ditambah baik. Kajian semula SSM ini perlu dilakukan dengan kadar segera memandangkan skim tersebut digubal berdasarkan keadaan ekonomi dan sara hidup pada tahun 2002.

Dalam tempoh 19 tahun ini kita telah berhadapan dengan pelbagai kos kenaikan sara hidup termasuk harga rumah yang begitu mendadak. Ketika ini gaji permulaan sektor kerajaan adalah sebanyak RM1,200 tanpa mengambil kira lain-lain elaun dan ia masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Gesaan Cuepacs agar kerajaan mengkaji semula SSM ini tidak bermaksud mahu kerajaan melaksanakan perubahan itu segera tetapi sebagai langkah awal untuk pentaksiran baharu. Antara perkara yang perlu diberi penekanan dalam SSM baharu ini adalah penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan.