Tun Mahathir Jadi Pemilik Baharu Ativa Luahkan Rasa Bangga Dengan Kejayaan Tempatan
# Others

Tun Mahathir Jadi Pemilik Baharu Ativa Luahkan Rasa Bangga Dengan Kejayaan Tempatan

post by Zaki

by Zaki

Apr 16, 2021
at 7:14 AM

Bapa automotif negara, Tun Dr. Mahathir yang menjadi pencetus kepada pembinaan kereta pertama negara, Proton Saga seperti diketahui sangat mengambil berat pembangunan industri automotif tempatan. Buktinya, beliau merupakan pemilik kepada hampir kesemua kereta keluaran Proton sebagai tanda kebanggaan kepada pencapaian anak-anak tempatan. Terbaru, Tun Dr. Mahathir menjadi pemilik kenderaan SUV Perodua Ativa apabila memilih Ativa varian AV berwarna Pearl Diamond White berbumbung hitam. Memilih nombor pendaftaran VBX 2020, angka tersebut mungkin dipilih sebagai perlambangan kepada pencapaian dengan Wawasan 2020 yang diasaskan bekas Perdana Menteri itu.

Majlis penyerahan model SUV kompak tersebut telah berlangsung di pekarangan Yayasan Kepimpinan Perdana yang disempurnakan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.  Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Tun Dr. Mahathir, beliau berbangga kerana Perodua kini telah mengeluarkan kereta yang dihasilkan dengan penglibatan lebih ramai jurutera tempatan.

Pada paparan video di laman Facebook itu juga jelas menunjukkan betapa bekas Perdana Menteri ini cukup teruja semasa diberi penerangan mengenai prestasi kenderaan tersebut. Malah beliau dilihat mendengar dengan teliti serta sangat dengan paparan teknologi pada SUV Ativa yang disifatkan sebagai terbaik dalam kelas dan harganya.SUV baharu itu dilancarkan oleh Pengerusi pada Mac lalu dengan menawarkan harga Ativa bermula daripada RM61,500 bagi varian X atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia, RM66,100 bagi varian H dan RM72,000 bagi varian AV utama.

Pengeluar kereta kompak itu turut menyasarkan untuk menghantar secara purata sebanyak 3,000 unit sebulan bagi SUV baharu dengan lima tempat duduk itu. Ativa merupakan model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, merintis kejayaan Perodua bagi gaya, keselamatan, teknologi, tahap dan nilai peralatan. Ia merupakan kenderaan cas turbo pertama Perodua dan model Perodua yang pertama menggunakan transmisi boleh laras berterusan (CVT), menyumbang kepada kecekapan bahan api 18.9 kilometer (km) per liter (L). Model kenderaan cekap tenaga (EEV) Perodua yang kelima ini mempunyai enjin turbo 1.0L tetapi prestasinya sama dengan 1.5L dengan kecekapan bahan api yang tinggi.