Teknologi Robotik Ganti Tugas Manusia Mudahkan Kerja-kerja Berat Di Pasar
# Others

Teknologi Robotik Ganti Tugas Manusia Mudahkan Kerja-kerja Berat Di Pasar

post by Zaki

by Zaki

Jan 22, 2025
pada 4:14 PM

Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh menjadi pasar pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi robotik dalam menyelesaikan isu kebersihan dan pengangkutan barang dalam kawasan pasar.  Projek kerjasama strategik antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu merupakan projek rintis dalam aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI).  Ia juga bertepatan dengan keperluan terhadap perubahan cara hidup norma baharu ekoran penularan COVID-19. Robot ini boleh mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing, boleh meningkatkan kebersihan dan juga boleh meningkatkan kecekapan di pasar.

Ini juga selaras dengan pendekatan MOSTI untuk mewujudkan ekonomi sentuhan rendah. Sebanyak tiga jenis robot digunakan di pasar berkenaan iaitu untuk membersihkan lantai, mengangkut barang dan mengutip sisa. Ketiga-tiga robot itu dibangunkan oleh dua syarikat tempatan, Ideasparq Robotics Sdn Bhd dan Akar Indah Engineering Sdn Bhd hasil kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). Pasar Ayam Ipoh di sini menjadi pasar pertama di negara ini yang menggunakan teknologi robotik bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Tiga jenis robot ini ialah robot mencuci lantai, robot mengangkut barang dan robot mengambil sampah. Penggunaan teknologi robotik tersebut turut meningkatkan kecekapan guna tenaga.  Ini kerana sebuah robot mencuci lantai bersamaan dengan tenaga lima orang pekerja setiap hari, malah kekerapannya mencuci boleh ditambah berbanding menggunakan tenaga manusia. Projek dibiayai oleh geran Sandbox Inovasi dan Teknologi Kebangsaan (NTIS) di bawah MOSTI yang merupakan salah satu inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Robot-robot ini menjalankan fungsi membersihkan lantai pasar, mengangkut ayam dari lori ke gerai penjaja, serta menguruskan sisa secara pintar.  Sistem kawalan keselamatan Al yang dipasang melalui kamera litar tertutup (CCTV) pula boleh mengesan pergerakan yang mencurigakan dan menghantar amaran dalam waktu sebenar atau real time. 

Robot industri ini boleh bergerak ke lokasi ditetapkan mengikut garisan magnetik yang dipasang pada lantai dan sesuai juga digunakan dalam industri pembuatan, tekstil, automotif, makanan, pergudangan dan pengoperasian hospital. Penggunaan teknologi robotik di pasar awam akan diperluaskan dengan Pasar Awam Seremban dan Pasar Taiping dipilih bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, bertepatan dengan keperluan masa hadapan.