Awas Jerat Pinjaman Wang Boleh Menyebabkan Hutang Bertambah Dan Poket Bocor
# Pengetahuan Pekerja

Awas Jerat Pinjaman Wang Boleh Menyebabkan Hutang Bertambah Dan Poket Bocor

post by Zaki

by Zaki

Apr 11, 2021
pada 1:12 AM

Setiap kali tiba musim perayaan, ramai yang merungut dan runsing kerana tidak dapat mengawal perbelanjaan lalu membuat pinjaman. Biasanya, ada yang terpaksa menangguhkan bayaran ansuran bulanan seperti ansuran kereta, kad kredit dan bayaran pinjaman rumah. Lebih merunsingkan lagi, ada yang sanggup membuat pinjaman daripada ‘Ah long’ untuk memenuhi kelengkapan rumah dan membuat persediaan untuk menyambut hari perayaan. Perkara seperti ini tidak akan berlaku sekiranya anda membuat persediaan lebih awal.

Sebab itu masyarakat dinasihatkan agar tidak bersikap boros dan berbelanja dengan berlebihan ketika bulan Ramadan dan Syawal apabila teruja untuk menyambut hari raya Aidilfitri. Mereka perlu mengelakkan daripada berhutang dengan tidak menurut hawa nafsu untuk menunjuk-nunjuk dengan pakaian terbaharu, peranti tercanggih dan sebagainya.

Bagaimana pun masalahnya, semasa musim perayaan inilah pelbagai tawaran pinjaman dengan kadar interest rendah dipancing institusi kewangan. Membaca iklan pinjaman pada laman sosial menyebabkan ramai yang sudah berkira-kira untuk memohon pinjaman berkenaan kerana jika ada lebihan wang bolehlah diguna sebagai persediaan hari raya membeli apa yang perlu. Malangnya, ramai yang tidak kemampuan diri untuk membayar, tambahan pula menerusi kaedah potongan gaji sama ada melalui bank atau pinjaman koperasi.

Pada dasarnya, seseorang tidak boleh membuat apa-apa pinjaman sekiranya dia banyak hutang-hutang lain yang perlu dibayar dengan potongan mencecah 60 peratus daripada jumlah gaji. Sebab itu setiap individu perlu tahu had kemampuan untuk berhutang. Umpama mengikur baju pada badan sendiri, ini kerana setiap peminjam tahu kesihatan poket masing-masing lebih-lebih lagi jika tiada pendapatan selain wang gaji.

Sama seperti bank, setiap individu sebenarnya perlu mematuhi nisbah hutang yang dia ada. Jika tidak, sebahagian besar gaji hanya digunakan untuk membayar hutang menyebabkan pendapatan yang ada berkurangan. Bagaimana pun, ada dalam kalangan peminjam yang sanggup mengemukakan maklumat palsu semata-mata untuk meminjam. Dalam konteks ini, setiap peminjam bertanggungjawab bagi memastikan had hutang dan segala jenis penipuan daripada pelbagai sudut dapat dikawal pada peringkat awal permohonan. Ingat, membuat hutang memang sedap, tetapi jangan menambah hutang jika tidak mampu.