Rumah Dirobohkan Warga Emas Kesusahan Terpaksa Tinggal Dalam Pondok Usang
# Others

Rumah Dirobohkan Warga Emas Kesusahan Terpaksa Tinggal Dalam Pondok Usang

post by Zaki

by Zaki

Apr 24, 2021
pada 11:50 AM

Dalam ramai daripada kita membebel pasal SOP Covid-19, boleh atau tidak dapat balik raya tahun ini serta apa warna baju nak pakai pada pagi Syawal nanti, tapi sebenarnya ada orang yang tak kisahkan pun pasal semua itu sebab kesusahan. Mereka juga tidak kisah nak makan di mana semasa berbuka nanti atau apa juadah yang dibeli semasa pergi ke bazar Ramadan. Pada mereka yang susah ini, ada lagi perkara yang sangat penting berbanding lain-lain.

Rasa sedih bila mengetahui tentang nasib seorang warga emas yang tiada tempat berteduh setelah rumah yang didiami sejak bertahun-tahun lalu dirobohkan pemaju kerana dibina di atas tanah kerajaan.  Sayu hati melihat lelaki warga emas ini terpaksa menjadikan sebuah pondok buruk yang kelihatan seperti kandang kambing sebagai tempat berlindung setelah rumahnya di Kampung Sri Keramat di Pasir Puteh, Ipoh, Perak ini dirobohkan.

Sejak setahun lalu, Muhammad Yusof Jidan, 66, berteduh di pondok itu yang dibina dengan tulang empat kerat menggunakan bekas kayu-kayu serta zink rumah lamanya di atas tanah orang setelah pemiliknya memberi keizinan. Warga emas ini yang hidup sebatang kara berkata, dia yang diusir pemaju hanya menerima pampasan sebanyak RM1,000 sahaja manakala tanah ganti yang sepatutnya diterima sepertimana penghuni lain tidak diketahui statusnya hingga kini.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan Covid-19 pada Mac tahun lalu, warga emas ini terpaksa berkurung di dalam pondok tersebut yang pada waktu siang panas berbahang manakala pada malamnya pula sangat sejuk sehingga menggigit tulang. Ini kerana dia tidak boleh keluar ke mana-mana pada waktu itu. Sebelum tinggal di pondok itu, warga emas ini menumpang tidur di sebuah surau di kampung tersebut.

Pondok itu pula tiada bekalan air dan tandas, jadi dia terpaksa mandi di surau. Kalau waktu malam sakit perut warga ema situ terpaksa i ke surau kerana pondok ini hanya tempat berteduh. Muhammad Yusof yang hanya melakukan kerja-kerja kampung termasuk membantu di surau bergantung hidup dengan wang bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM300 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM500.

Dia yang pernah berumahtangga bagaimanapun telah berpisah dengan bekas isteri sejak sekian lama dan mereka tiada anak. Kata warga emas itu, dia telah beberapa kali mengemukakan permohonan mendapatkan tanah ganti kepada pihak berkuasa tetapi masih belum berjawab. Walaupun pernah ditawarkan untuk tinggal di rumah kebajikan, dia menolak kerana ingin hidup berdikari sepertimana orang-orang lain.