PM Thailand Kena Denda Langgar SOP Covid-19 Tak Pakai Pelitup Muka
# Others

PM Thailand Kena Denda Langgar SOP Covid-19 Tak Pakai Pelitup Muka

post by Zaki

by Zaki

Apr 26, 2021
pada 7:52 AM

Prinsip salah tetap salah dalam penguatkuasaan undang-undang mengekang Covid-19 benar-benar dilaksanakan di Thailand apabila hukuman tidak mengenal golongan kayangan, rakyat biasa atau sesiapa sahaja. Ketelusan itu terbukti apabila Perdana Menteri Thailand sendiri dikenakan denda gara-gara tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Pempimpin No. 1 Thailand itu, Prayut Chan-O-Cha didenda kerana tidak memakai pelitup muka selepas sekatan baharu Covid-19 berkuat kuasa dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.

Tindakan dikenakan selepas gambar Perdana Menteri itu menghadiri mesyuarat tanpa memakai pelitup muka tersebar di media sosial. Susulan itu, Gabenor Bangkok telah megenakan denda 6,000 baht (RM782). Sebanyak 2,048 kes baru Covid-19 diumumkan semalam. Sehari sebelumnya, Thailand mencatatkan angka kematian harian tertinggi Covid-19 dengan 11 kematian.

Pemakaian pelitup muka kini diwajibkan di tempat awam membabitkan 49 wilayah dan ibu kota Thailand, Bangkok selepas wabak baharu dikesan terutamanya di lokasi menempatkan premis-premis hiburan seperti kelab malam.Mereka yang ingkar peraturan pemakaian pelitup muka boleh dikenakan denda maksimum sebanyak 20,000 baht (RM2,606). Bangkok sebuah kota yang padat dengan penduduk menjadi kediaman kepada kira-kira 15 juta populasi.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok mengatakan dalam satu pengumuman lain bahawa hukuman  juga akan dikenakan terhadap institusi yang gagal melaksanakan peraturan pemakaian pelitup muka dalam kalangan  pengunjung. Arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu dikuatkuasakan ketika Bangkok berdepan  kadar  jangkitan yang lebih tinggi semasa gelombang ketiga Covid-19.

Pihak kesihatan di Bangkok mengesan 8,175 kes yang disahkan sejak gelombang baharu Covid-19 bermula awal bulan ini. Bandar raya itu mencatat  kes Covid-19 dua kali ganda lebih tinggi daripada Chiang Mai yang berada di tempat kedua sebanyak 3,148 kes. Selain Bangkok, 45 wilayah lain di Thailand turut melaksanakan peraturan mewajibkan pemakaian  pelitup muka sebagai langkah mengekang penyebaran Covid-19.

Walaupun jumlah kes Covid-19 meningkat tapi Thailand tidak akan mengenakan sekatan pergerakan atau perintah berkurung seluruh negara Bagi mengelak kes terus merebak institusi pendidikan dan pusat hiburan akan ditutup selain melarang penjualan alkohol di restoran sekurang-kurangnya dua minggu bermula Ahad. Selain itu, sebarang aktiviti melebihi 50 orang adalah dilarang.