Gangguan seksual di tempat kerja. Ini yang anda perlukan lakukan segera!


by Maukerja Team
Gangguan seksual di tempat kerja. Ini yang anda perlukan lakukan segera!
Penulis : Nurliyana Binti Norhamizan
Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina. Namun, telah menjadi lumrah, gangguan seksual kerap berlaku terhadap wanita. Tetapi tidak kira lah apa sahaja jantina, umur, agama dan bangsa anda sekiranya anda merupakan mangsa gangguan seksual di tempat kerja, tindakan pantas perlu diambil segera!
Sebelum itu, kita harus faham apa sebenarnya maksud gangguan seksual ini. Gangguan seksual bermaksud perlakuan yang kurang disenangi melalui kata-kata isyarat, sentuhan dan sebagainya yang berunsur seks, kata-kata lucah, perbuatan seperti meraba dan sebagainya. Kebiasaannya, perbuatan ini dilakukan secara berulang-ulang tanpa kerelaan mangsa.
Contoh gangguan seksual di tempat kerja :
1) Gangguan secara fizikal – mendekati pekerja lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga mendatangkan ketidakselesaan terhadap pekerja tersebut. Melakukan perbuatan seperti memegang, menggosok, mencubit manja, mencium, menjilat atau meraba.
2) Gangguan secara lisan – menggunakan bahasa lucah melalui perbualan, gurauan, pujian, atau soalan secara seksual terhadap penampilan, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti sosial.
3) Gangguan seksual secara isyarat – perlakuan yang memberi gambaran atau keinginan yang berunsurkan seksual seperti menjeling, menggoda, merenung, mengintai, menggigit atau menjilar bibir atau menggunakan bahasa isyarat lain yang mendorong ke arah tersebut.
4) Gangguan seksual secara visual – menghantar nota,email,whatsapp, sms, telegram atau apa sahaja mesej yang berunsur seksual.
5) Gangguan seksual secara psikologi -perbuatan seperti memujuk rayu sehingga mangsa terpedaya.
Jadi, anda dah tahukan jenis-jenis gangguan seksual ini? Seterusnya, apa yang perlu dilakukan sekiranya anda merupakan mangsa gangguan seksual. Berdiam diri? BIG NO! Anda perlu berbuat sesuatu dengan segera supaya tindakan dapat diambil kepada si pelaku.
Langkah yang anda boleh lakukan dengan segera :
1) Jangan berdiam diri! Pertama sekali, ceritakan kepada rakan sekerja yang boleh dipercayai. Hal ini bertujuan supaya anda lebih lega dan yang paling penting mempunyai sokongan moral daripada rakan sekerja. Boleh juga jadikan rakan sekerja tersebut sebagai saksi sekiranya gangguan seksual berlaku lagi.
2) Membuat catatan tentang kejadian gangguan seksual yang anda alami. Catat dengan teliti mengenai identiti pelaku, tempat kejadian, waktu, saksi, bahan bukti seperti email/whatsapp yang dihantar mengenai perincian-perincian yang mendorong terhadap gangguan seksual tersebut.
3) Maklumkan terhadap orang atasan seperti Jabatan Sumber Manusia mengenai hal tersebut supaya tindakan lanjut boleh diambil segera. Tindakan tatatertib boleh dikenakan jika bukti yang mencukupi dapat disediakan seadanya
4) Sekiranya tiada tindakan diambil, mangsa gangguan seksual boleh terus membuat laporan polis untuk siasatan lebih lanjut.
Seseorang majikan yang gagal menyiasat aduan gangguan seksual atau memberitahu pengadu keengganan serta sebab disebaliknya atau menghantar laporan kepada Ketua Pengarah boleh dianggap telah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000.
Seksyen 509 Kanun Keseksaan juga boleh dirujuk di mana hukumannya adalah penjara sehingga 5 tahun atau denda atau kedua-duanya.
Jika gangguan seksual di tempat kerja tidak dapat dibendung, ia akan memberi kesan yang sangat buruk terhadap prestasi kerja mangsa. Lebih membimbangkan, mangsa gangguan seksual akan melakukan sesuatu perkara yang buruk terhadap diri sendiri atau orang sekeliling kerana terdapat tekanan yang melampau oleh si pelaku.
Justeru, isu gangguan seksual ini bukanlah sesuatu isu yang remeh. Jangan takut untuk ambil langkah proaktif segera kerana terdapat undang-undang yang boleh melindungi hak pekerja. Terus bangkit dan melawan si pelaku gangguan seksual.
Sumber: Seksyen 81A-G Akta Kerja 1955( Akta 265); Seksyen 509 Kanun Keseksaan 1936 (Akta 574); Kod Amalan untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja 1999