Sebelum Maryam, kita sudah ada MacGyver Malaysia.


by Maukerja Team
Sebelum Maryam, kita sudah ada MacGyver Malaysia.
Penulis : Azza Rai
Sana sini orang memperkatakan mengenai kejayaan adik Maryam Muzzamir, 11 tahun yang memenangi tiga pingat emas dengan penciptaan makanan haiwan berasaskan kulit udang dan siput. Pelajar tahun lima itu juga adalah pemenang termuda dengan mengalahkan 600 peserta dari 70 buah negara hasil kreatif.
Jika anda dilahirkan bermula tahun 2000 ke atas, mungkin tidak begitu mengenali pencipta inovasi hebat ini.
Malaysia di era 80an, ketika nasi lemak masih berharga 20 sen, ketika dunia digital masih dalam bayangan, kita sebenarnya sudah mempunyai superhero yang sangat hebat.
Beliau yang dimaksudkan ialah Zulkifli Haron yang ciptaan perkakasnya mendahului zaman.
Seawal tahun 1985, namanya sudah mula meniti di bibir masyarakat apabila sentuhan geniusnya menghasilkan kereta automatik pertama di Malaysia.
“Saya mencipta kereta automatik menggunakan sebuah kereta antik iaitu Peugeot 404,” kata Zulkifli seperti yang dipetik menerusi Facebooknya.
“Pada tahun 90-an, telefon Atur yang sebesar bateri kereta merupakan teknologi yang paling canggih. Pada waktu tersebut, internet tiada, Google pun tiada dan kita pun tidak tahu apa itu internet dan Google pada ketika itu,” kata Zulkifli.
Bagaimanapun, disebabkan teknologinya mendahului zaman, ciptaannya tidak mendapat sambutan kerana pelabur takut untuk memberi pinjaman kerana teknologi itu masih belum wujud di Malaysia ketika itu.
Bagaimanapun, MacGyver Malaysia ini tidak mudah patah semangat, terus berusaha biarpun tidak mendapat suntikan dana.
Semua idea geniusnya diturunkan kepada syarikat yang dibinanya sendiri, Zull Design Autotronic pada awal 90-an dan ia berkembang sehingga hari ini dengan memberi aspirasi kepada anak muda.
Apa yang kita boleh belajar dari wira negara?
Idea adalah anugerah namun usaha adalah milik kita. Jika nak seribu daya.
Tidak mendapat sokongan adalah perkara biasa, namun hati perlu tekad.
Jangan putus asa
Jadi, bagaimana? Anda rasa anda genius? Atau idea anda tidak dihargai? Sabar, ambil masa dan buktikan anda benar-benar berharga.