Tinggalkan Kerja Tapi Raih Pendapatan 5 Angka!
# Jenis Pekerjaan # Gaya Hidup # Pengetahuan Pekerja # Trending Semasa

Tinggalkan Kerja Tapi Raih Pendapatan 5 Angka!

post by MJ

by MJ

Oct 3, 2021
pada 10:40 PM

Tinggalkan Kerja Tapi Raih Pendapatan 5 Angka!

Penulis - Aina

Hilang punca pendapatan atau susah nak dapat kerja? Seorang bekas pengurus sarankan rakyat Malaysia untuk ceburi bidang pertanian. Mohd Saifullah Che Mat, 28, bekas pengurus kedai telekomunikasi yang juga merupakan siswazah Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah hilang pekerjaan pada Mac tahun lepas akibat pandemik COVID-19, kini merupakan seorang petani berjaya yang meraih pendapatan lima angka sebulan.

Beliau terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai pengurus atas dasar kedai telekomunikasi tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh PKP. Namun, tidak mahu terjurumus dalam kesedihan, pemuda ini selamba je terjun dalam bidang pertanian dengan menanam sebanyak 800 pokok lada solok di atas tanah milik bapanya Che Mat Hussin, 72, di Kampung Chuchoh Puteri, bermodalkan RM4,000.

Tapi usaha itu tidak berbuah hasil apabila kesemua tanaman lada solok itu rosak gara-gara tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pertanian. Mohd Saifullah tidak patah semangat dan mengambil inisiatif untuk berguru dengan kenalan yang mahir sambil menimba ilmu melalui YouTube. Selepas gagal kali pertama, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Komunikasi itu mencuba pula menanam sebanyak 1,200 pokok terung secara konvensional. Dalam tempoh seminggu sahaja, kira-kira 300 kilogram (kg) terung dapat dituai sehari dan meraih hasil jualan sehingga RM800.

Hasil yang memberangsangkan dari tanaman terung, Mohd Saifullah mengusahakan 1,000 pokok cili padi kampung secara fertigasi menggunakan geran sebanyak RM10,000 yang diperoleh daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Beliau menjelaskan, “Menerusi percubaan tanaman cili padi kampung itu, saya mula mencipta kelainan dengan menggunakan kaedah fertigasi, kerana kaedah ini dikatakan lebih mudah untuk diurus, selain ia turut menjimatkan kos sekaligus dapat mengurangkan risiko diserang serangga perosak.”

Mohd Saifullah menarik nafas lega apabila penat lelah usahanya membuahkan hasil dan tanaman itu menjana 70 hingga 100 kg cili padi. Katanya tanaman ini dijual kepada peraih di sekitar daerah ini dengan harga RM12 hingga RM15 sekilogram, mengikut harga pasaran semasa. Menurutnya, hasil tanaman cili padi ini mampu memberi pulangan dalam tempoh yang singkat iaitu hanya sekitar 45 hari dan mempunyai jangka hayat yang agak lama bagi tanaman sayur iaitu setahun.

Meraih pendapatan hingga RM10,000 sebulan, Mohd Saifullah menyatakan, “Hasil tanaman saya ini turut mendapat permintaan di luar Kelantan seperti Johor, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur, serta saya memasarkan secara dalam talian supaya dapat mengelakkan berlakunya lambakan.”

Pendirian Mohd Saifullah ini ibarat pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” kerana kegagalan beliau tidak mematahkan semangatnya dan semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua!