PERALIHAN KE FASA ENDEMIK, PESAKIT COVID-19 BOLEH TUNTUT FAEDAH PERKESO SEBAGAI “PENYAKIT KHIDMAT”
# Gaya Hidup # Pengetahuan Pekerja # Trending Semasa

PERALIHAN KE FASA ENDEMIK, PESAKIT COVID-19 BOLEH TUNTUT FAEDAH PERKESO SEBAGAI “PENYAKIT KHIDMAT”

post by MJ

by MJ

Apr 3, 2022
pada 11:48 AM

PERALIHAN KE FASA ENDEMIK, PESAKIT COVID-19 BOLEH TUNTUT FAEDAH PERKESO SEBAGAI “PENYAKIT KHIDMAT”

Ditulis oleh - Ikhmal

Pertubuhan Keselamatan Sosial  (PERKESO) kini akan memproses semua tuntutan faedah berkaitan kes COVID-19  sebagai Penyakit Khidmat. Perkara ini merupakan lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana  Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob berhubung anjakan negara memasuki Fasa  ‘Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April 2022

PERKESO merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM)  dan ia tertakluk kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Merujuk kepada akta tersebut, Penyakit Khidmat merujuk kepada penyakit yang berpunca atau berlaku daripada pekerjaan sebagaimana yang disenaraikan dalam Jadual Kelima, Akta 4. 

COVID-19 telah tersenarai sebagai penyakit yang dinyatakan dalam Jadual Kelima. Oleh itu, ia  boleh dipertimbangkan sebagai Penyakit Khidmat jika memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 28, Jadual Kelima, Bahagian VII Agen Biologi Bil 10. 

Antara  penyakit berjangkit lain yang turut diletakkan di bawah kategori Penyakit Khidmat ini seperti jangkitan virus Nipah, Tuberkulosis (batuk kering) dan Leptospirosis (penyakit  kencing tikus). 

Oleh itu, Orang Berinsurans (OB) PERKESO yang ingin membuat tuntutan  faedah bagi kes COVID-19 masih layak dipertimbangkan, namun  terhad kepada pekerjaan yang terdedah kepada agen biologi dan adanya jangkitan  dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan. 

Permohonan itu akan diproses sebagai Penyakit Khidmat dan OB yang layak akan menerima faedah-faedah di bawah  Skim Bencana Pekerjaan atau Skim Keilatan merangkumi Faedah Hilang Upaya  Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Pencen Penakat, Pencen Ilat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM), mengikut kelayakan masing-masing. 

Namun begitu, permohonan tuntutan faedah yang dibuat oleh OB yang disahkan positif COVID 19 sebelum 1 April 2022 tetap akan diproses sebagai Bencana Kerja oleh pihak PERKESO.

PERKESO telah menerima sebanyak 132,988 kes tuntutan faedah COVID-19 sehingga 26 Mac 2022 yang merangkumi pekerja tempatan dan asing. Lebih RM133 juta telah berjaya dibayar kepada OB sejak pemberian faedah ini mula  dilaksanakan pada 24 Februari 2021. 

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sesawang PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi nombor Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau e-mel ke  perkeso@perkeso.gov.my.