Pakar Kereta Ini Kongsi 7 Tips Bagaimana Untuk Bagi Bateri Kereta Tahan Lebih Lama
# Trending Semasa

Pakar Kereta Ini Kongsi 7 Tips Bagaimana Untuk Bagi Bateri Kereta Tahan Lebih Lama

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Dec 3, 2017
pada 5:03 AM

Bagi sesebuah kenderaan, bateri adalah penting bagi membolehkannya bergerak. Kuasa elektrik yang diperlukan untuk menggerakkan sesebuah kenderaan disimpan di dalam bateri.

Oleh sebab itu, anda perlu membawa kereta anda servis di bengkel bertauliah bagi memastikan bateri kereta anda masih boleh digunakan lagi ataupun tidak. Bateri kereta yang dijaga dengan baik mampu bertahan sehingga 2 ke 3 tahun ataupun lebih lagi.

Namun, jika anda tak mempunyai masa untuk memeriksa bateri kereta anda di bengkel, ada 7 cara yang anda boleh ikut bagi memastikan bateri kereta anda masih berfungsi dengan baik. 

 1. KEDUDUKAN BATERI DALAM KERETA

Kebanyakan bateri kenderaan mempunyai kotak plastik tahan lasak dengan dua sambungan terminal untuk kabel positif dan negatif. Bahagian terminal bateri biasanya diperbuat daripada plumbum ataupun tembaga.

Sesetengah bateri seperti bateri motosikal yang bersaiz lebih kecil mempunyai terminal bateri yang berbeza, kadangkala ia dilengkapi dengan skru untuk memudahkan sambungan.

Jika ingin menanggalkan bateri untuk dibersihkan pastikan kedudukan positif dan negatif agar tidak tersalah pasang kemudiannya.

2. PERIKSA ARAS AIR BATERI SETIAP 2 ATAU 3 BULAN SEKALI

Langkah ini digunapakai hanya untuk bateri sel-basah dan bukannya bateri bebas-selenggara (maintenance-free) Jika anda menggunakan bateri bebas-selenggara, pastikan ia diperiksa oleh pakar bateri.

Biasanya bateri jenis ini tidak memerlukan penambahan cecair bateri. Bagi bateri sel-basah biasa pula, cecair bateri mesti ditambah dari semasa ke semasa. Kegagalan memeriksa aras air bateri akan mengakibatkan tempoh hayat bateri berkurangan dari sepatutnya. Aras air bateri sepatutnya mencecah bahagian bawah lubang isian setiap kali isian.

Buka penutup untuk memeriksa aras air bateri. Sesetengah bateri memang tidak mempunyai penutup (biasanya bateri bebas-selenggara).

Tambah air bateri jika arasnya terlalu rendah. Gunakan corong dan tambah secukupnya. Jangan sampai melimpah keluar.

3. BERSIHKAN TERMINAL BATERI

Tanggalkan kabel sambungan daripada terminal bateri dan jauhkannya daripada terminal bateri.

Bersihkan terminal dengan berus dawai dengan bancuhan air dan soda bikarbonat. Gosok perlahan-lahan sehingga bersih daripada kesan garam asid.

Jangan menggunakan tukul sewaktu memasang kembali sambungan ke terminal bateri. Longgarkan skru sambungan untuk memudahkan pemasangan kembali.

4. SAPUAN GRIS TAHAN PANAS

Sapukan sedikit minyak gris tahan panas pada bahagian terminal bateri untuk mengelakkannya daripada kakisan dan karat.

5. SENTIASA PERIKSA VOLTAN BATERI

Jika anda menghantar kereta anda untuk servis ataupun diselenggara, pastikan voltan bateri diperiksa sekali oleh mekanik.

Mereka biasanya mempunyai peralatan khusus untuk memeriksa voltan bateri. Bergantung pada saiz dan jenis bateri, bateri bercas penuh biasa mempunyai bacaan 12.5 ke 12.6 volt.

Pastikan bateri anda mempunyai cas penuh sebelum diuji. Kadangkala, alat penguji bateri akan  memberi bacaan “Bad Battery” jika bateri yang diuji tidak mampunyai cas penuh, walaupun bateri tersebut dalam keadaan baik.

6. PERIKSA PENEBAT BATERI JIKA ADA

Periksa penebat bateri ataupun insulator jika ada. Sesetengah kereta mempunyai penebat ini untuk melindungi bateri daripada kepanasan melampau, sekaligus mengeringkan cecair bateri dengan cepat. Penebat ini mesti ada ditempatnya dan dalam keadaan baik.

7. PERIKSA SETIAP 5,000 KILOMETER

Cara terbaik untuk memelihara bateri kereta anda ialah dengan memastikan ianya diperiksa dan diuji setiap 5,000 kilometer ataupun 3 bulan sekali oleh juruteknik yang berpengalaman.

Sebagai antara komponen paling penting di dalam kenderaan anda, bateri memang sewajarnya diberi perhatian yang serius. Harganya yang mahal juga bererti anda terpaksa mengeluarkan wang yang lebih jika ia meninggal sebelum waktunya.