Gaji permulaan yang diterima oleh lulusan universiti masih lagi hangat diperkatakan. Kebanyakan majikan pada masa kini tidak sanggup untuk memberikan gaji permulaan RM3,000 seperti yang diminta oleh individu berkelulusan universiti.


by Haziqah Muhamad
Gaji permulaan yang diterima oleh lulusan universiti masih lagi hangat diperkatakan. Kebanyakan majikan pada masa kini tidak sanggup untuk memberikan gaji permulaan RM3,000 seperti yang diminta oleh individu berkelulusan universiti.
Bagi fresh grad pula, gaji permulaan yang diterima dianggap tidak relevan dengan title kelayakan universiti yang mereka miliki. Sebaliknya, seseorang lulusan universiti akan lebih mudah memperoleh kerja sekiranya bersetuju menerima gaji permulaan antara RM2,000 hingga RM2,200, satu jumlah yang biasanya diberikan oleh kebanyakan majikan pada hari ini.
Cadangan gaji yang diminta oleh lulusan universiti dengan gaji yang ingin diberikan oleh majikan adalah bertentangan dengan kehendak masing-masing dan jurang tersebut begitu jauh.
Sebagai langkah penyelesaian, kedua-dua pihak perlu menetapkan jumlah gaji permulaan bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan. Menurut Pengurus Negara Jobstreet Malaysia dan Singapura, Chook Yuh Yng:
"Jika lulusan universiti tidak cuba mengurangkan jumlah gaji yang diminta, manakala majikan pula tidak berganjak untuk menaikkan gaji yang lebih tinggi, sudah tentu akan menyebabkan graduan berkemahiran tinggi meninggalkan negara untuk bekerja di negara asing.
Sekiranya majikan terus mengekalkan gaji permulaan antara RM2,000 hingga RM2,200, negara akan terus kehilangan ramai graduan kerana mereka lebih suka bekerja di negara asing untuk memperoleh gaji yang lebih tinggi.''
Beliau berkata, lebih 20,000 graduan dipercayai sedang menganggur pada masa ini akibat masalah gaji permulaan yang rendah.