Saban hari, kes penipuan yang melibatkan scammers semakin menjadi-jadi. Beribu satu macam cara penjenayah sekarang ni buat demi menipu mangsa untuk keuntungan dan kesenangan diri sendiri.


by Haziqah Muhamad
Saban hari, kes penipuan yang melibatkan scammers semakin menjadi-jadi. Beribu satu macam cara penjenayah sekarang ni buat demi menipu mangsa untuk keuntungan dan kesenangan diri sendiri.
Baru-baru ni, seorang pesara berusia 60 tahun telah mengalami kerugian sebanyak RM40,000 selepas diperdaya sindiket penipuan 'Macau Scam.' Paling menyedihkan, wang tersebut merupakan wang simpanan untuk lelaki itu membeli rumah. Mnagsa menerima panggilan daripada seseorang yang kononnya pegawai bank mendakwa yang dia memiliki tunggakan pinjaman dan perlu menjelaskannya segera.
Ada satu lagi kes terbaru yang penjenayah kononnya menyamar sebagai pegawai Pos Malaysia dan menghubungi nombor telefon sebelum menyuruh mangsa mengambil barangan di pejabat syarikat berkenaan. Dalam perbualan telefon itu juga, sindiket berkenaan akan meminta salinan kad pengenalan dan menyuruh mangsa membuat bayaran ke akaun tertentu.Mangsa hanya menyedari diri mereka tertipu apabila tiba di pejabat pos yang diarahkan dan gagal menuntut barangan kerana barangan tersebut memang tiada dalam simpanan pejabat pos itu.
Sehubungan dengan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya sekiranya menerima panggilan telefon mendakwa daripada institusi kewangan ataupun pihak polis kerana dikhuatiri ia panggilan palsu.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, siasatan mendapati penipuan berkenaan didalangi sindiket dari Taiwan dan China yang menggunakan talian antarabangsa dari Hong Kong dan tempatan.
"Macau Scam membabitkan empat kategori modus operandi iaitu cabutan bertuah (lucky draw), tipu culik dan minta wang tebusan, 'spoofing' penyamaran sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan dan 'spoofing' penyamaran sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) atau bank komersial.''
1. Modus operandi penipuan cabutan bertuah (lucky draw)
Pengadu menerima panggilan telefon mendakwa memenangi pertandingan cabutan bertuah bernilai jutaan dolar dari syarikat Hong Kong atau Macau.
2. 'Spoofing' penyamaran sebagai pegawai polis atau agensi kerajaan
Mangsa menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai mahkamah atau polis dan mendakwa mangsa terbabit dengan kegiatan haram seperti Ah Long, kongsi gelap dan pengedaran dadah.
3. 'Spoofing' penyamaran pegawai BNM atau bank komersial (kad kredit)
Mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai bank dan mendakwa mangsa gagal membuat bayaran kad kredit.
4. Tipu culik dan minta wang tebusan
Mangsa menerima panggilan daripada seseorang memaklumkan kononnya anak atau saudara mangsa diculik.
Selain empat modus operandi terbabit, polis turut mengesan helah dan taktik lain yang digunakan sindiket penipuan terbabit untuk memperdaya mangsa antaranya dakwaan langgar lari dan gagal membayar hutang pinjaman bank atau institusi kewangan. Orang ramai juga diingatkan tidak menghubungi semula nombor telefon yang diterima itu, sebaliknya dapatkan nombor telefon rasmi syarikat, organisasi atau institusi terbabit untuk pengesahan lanjut.
Sekiranya anda merupakan mangsa penipuan sindiket ini, segeralah buat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.