4 Iron Lady Ini Pemecah Tradisi Malaysia
# Gaya Hidup # Trending Semasa

4 Iron Lady Ini Pemecah Tradisi Malaysia

post by Aisya

by Aisya

Mar 7, 2018
pada 2:57 AM

Hari ni adalah hari istimewa bagi semua wanita di seluruh dunia. Kalau dulu, kaum wanita ni ada kalanya hanya dipandang sebelah mata je. Lebih-lebih lagi dari segi kemampuan dan pencapaian diri. Tapi kini kedudukan wanita dah setaraf, malah ada yang lebih tinggi dari lelaki. 

Ramai yang kata wanita ni insan yang lemah. Tapi perumpamaan tu dah tak relevan zaman sekarang ni sebab ramai dah wanita yang menyandang jawatan tinggi antaranya ialah...

1. Tan Sri Dr Zeti Aktar Aziz, Gabenor Bank Negara

Tan Sri Dr Zeti Aktar Aziz telah menjalankan tanggungjawab sebagai Gabenor Bank Negara selama 16 tahun. Dia telah menjalankan tugas dengan gigih, bertungkus-lumus memastikan kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan baik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Zeti adalah contoh wanita yang perlu diteladani sebagai Gabenor bank pusat." - Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Perbankan Pusat dan
Kedua Editor Central Banking Banking Journal.

Beliau merupakan anak perempuan kepada pasangan Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid dan tokoh budaya, Allahyarhamah Sharifah Azah Mohamed Alsagoff. Pada tahun 1985, beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengurus di Jabatan Ekonomi, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Gabenor pada 2000.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penyelidik Ekonomi antara tahun 1979 dan 1984. Apa yang lebih menariknya ialah, beliau pernah diiktiraf sebagai Gabenor Bank Kelas A untuk tahun ke-11 berturut-turut.

2. Tan Sri Siti Norma Yaakob, Hakim Besar Malaya

Tan Sri Siti Norma Yaakob bersara pada tahun 2007 setelah 43 tahun berkhidmat dalam profesion undang-undang. Dia juga merupakan wanita Malaysia pertama yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sebelum menjadi Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Besar Malaya pada tahun 2005. 

Pada tahun 2008, dia sekali lagi telah mencipta sejarah apabila dilantik sebagai hakim wanita pertama di negara Arab iaitu di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang beribu pejabat di Dubai. Selepas menceburi bidang kehakiman, dia berpindah pula ke bidang korporat. Antaranya ialah menjadi Pengerusi Yayasan CIMB, Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia.

3. Tun Tan Sri (Dr) Hajjah Fatimah Hashim, Menteri Kabinet Wanita Pertama 

Tun Tan Sri (Dr) Hajjah Fatimah Hashim adalah seorang Menteri Kebajikan Am Malaysia pada tahun 1969 hingga 1973 dan merupakan wanita pertama Malaysia yang dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia.

Beliau  memegang Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan dan Undang-undang. Selain daripada bidang politik, beliau juga aktif dalam pergerakan sosial terutamanya dalam pertubuhan wanita. Oleh kerana kegigihannya itu, dia telah berjaya menerima anugerah gelaran ‘Tun’ dan 'Tan Sri’.

4. Datuk Yvonne Chia, Ketua Pegawai Eksekutif bank wanita pertama 

Datuk Yvonne Chia adalah wanita Malaysia pertama yang mengetuai bank komersial  serta pertama yang berkhidmat di RHB dan kemudian di Hong Leong Bank.

Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif RHB semasa krisis kewangan 1998. Kalau korang nak tahu, beliau lah yang berjaya membantu dalam membaik pulih masalah yang dihadapi. Beliau juga merupakan wanita Malaysia yang pertama menerima CEO Eagle Pin.