4 Kes Individu Didenda Sebar Berita Palsu Di Media Sosial Yang Pernah Berlaku Di Malaysia
# Trending Semasa

4 Kes Individu Didenda Sebar Berita Palsu Di Media Sosial Yang Pernah Berlaku Di Malaysia

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Apr 30, 2018
pada 6:36 AM

Pada bulan Mac 2018 yang lalu, secara rasminya satu kenyataan undang-undang telah dibuat mengenai tentang penyebaran berita palsu. Menurut sumber yang dipetik daripada Astro Awani,  individu yang didapati bersalah yang mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan berita atau penerbitan yang mengandungi berita tidak benar boleh dikenakan denda RM500,000 atau 10 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Sehubungan dengan isu ini, kami himpunkan empat jenis kes yang pernah dilaporkan di Malaysia gara-gara penyebaran berita palsu di media sosial iaitu Facebook. Jangan buat main ye, ada yang kena denda sampai RM7,000 tu!

 

#1 Denda RM3,000 (Hantar Komunikasi Palsu Di FB)

GADIS gadis lepasan Politeknik, Ainin Syazwani Che Mat Noordin, 22, dan jurutera kilang, Mohd Asrul Alwin Mohd Yusoff, 32, masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu di Facebook, berhubung laporan kontena dipercayai berisi daging babi bercampur daging kambing dibawa masuk dari Sepanyol.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua individu itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook (FB) milik mereka telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 7.48 pagi, 21 Julai 2017 dan 9.53 pagi, 20 Julai 2017.

 

#2 Guru 36 Tahun Didakwa (Sebar Berita Palsu Di Whatsapp Group)

Bila dah ada whatsapp ni, tak sah lah kalau takde Whatsapp Group kan? Korang tahu tak, info-info yang selalu korang dapat dalam whatsapp tu, bukannya tentu betul tau. Jadi kalau korang dapat apa-apa info tu, jangan terus share dekat group-group sebelah pulak ye. Kalau nasib tak baik, haa korang mungkin akan jadi seperti guru di Semporna ni yang telah dihadapkan di mahkamah atas dakwaan penyebaran berita palsu di dalam WhatsApp Group.

Dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi WhatsApp dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada Disember 2014. Dalam WhatsApp tersebut, dia didakwa menghantar status berbentuk makluman agar berhati-hati dengan sebuah kereta Proton Hitam dengan nombor pendaftaran SAA6086T dipercayai pemandu kenderaan itu merupakan seorang perogol dan untuk tujuan keselamatan, sebar kepada keluarga dan rakan-rakan.

Kes ini adalah yang pertama di negara ini membabitkan individu didakwa atas kesalahan menghantar komunikasi palsu menerusi kumpulan WhatsApp.

 

#3 Didenda RM7,000 (Sebar Berita Palsu Di FB)

Gara-gara menyebarkan berita palsu di laman sosial Facebook yang boleh mencetuskan pergaduhan kaum, seorang pekerja pemasangan internet didenda RM7,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen.

Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Nur Hafiz Palpha, 23, mengaku bersalah menyebarkan berita palsu tentang insiden sekumpulan lelaki menetak pelajar tahfiz di Pandamaran, Klang.

Berdasarkan info, berita palsu itu telah sampai ke pengetahuan polis apabila salah seorang anggota polis di Balai Polis Pandamaran telah terbaca status di laman Facebook milik Muzaffar Syam berhubung kejadian tersebut.

Anggota polis tersebut kemudian memaklumkan kepada ketua balai polis itu sebelum membuat aduan ekoran semakan mendapati kejadian seperti yang didakwa tidak berasas kerana tiada laporan dibuat tentang pelajar tahfiz diserang sekumpulan lelaki di Pandamaran. Siap diletakkan sekali beberapa gambar mangsa yang tidak dipastikan kerana kebanyakan gambar kecederaan adalah kesan tetakan senjata tajam.

 

#4 Direman Kerana Sebar Berita Palsu Tentang Polis

Haa yang ni berita terkini yang diterima tadi. Seorang lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan kerana memuat naik kenyataan yang mencemarkan nama baik dan integriti pasukan polis berikutan kejadian kemalangan pada Khamis lalu.

Khamis lalu, seorang pelajar maut manakala dua anggota polis peronda cedera parah semasa sedang cuba membantu pelajar tersebut menukar tayar di bahu jalan sebelum dirempuh sebuah lori. 

Ekoran kejadian ini, lelaki yang direman itu telah memuat naik status Facebook berbunyi begini:

"Gu kejadian bru jah jadi sakni mari pakat2 doa ko abam P kito-berlaku ketiko nk hambak lori mitok duit ore awam kato p kito pon xpasti. Ore kato abam2 P kito lapa bidah lapar pitih gu kiro mati syahid ko lagu mano gu.sedekoh AL-FATIHAH GU brlaku terrrr. #hambaksapabuleh."

Maksud:

'Kawan-kawan, kejadian baru sahaja berlaku tadi,sama-sama doakan abang polis kita-berlaku semasa nak kejar lori minta duit, orang awam bagitahu tapi kita pun tidak pasti. Orang cakap abang-abang polis kita lapar duit.kira mati syahid macam mana?.sedekah Al-fatihah  kawan-kawan semua,. #kejarsampaidapat."

Status yang dibuat oleh lelaki tersebut bertentangan dengan fakta sebenar, walhal kedua-dua anggota polis peronda itu sedang membantu mangsa menukar tayar pada hari kejadian berlaku.