Kalau masih ingat lagi, lima beradik Anak-Anak Sidek suatu ketika dulu pernah mencetuskan satu fenomena luar biasa dalam arena badminton. Kejohanan Piala Thomas ialah sebuah kejohanan utama badminton peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki.


by Haziqah Muhamad
Kalau masih ingat lagi, lima beradik Anak-Anak Sidek suatu ketika dulu pernah mencetuskan satu fenomena luar biasa dalam arena badminton. Kejohanan Piala Thomas ialah sebuah kejohanan utama badminton peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki.
Berdasarkan sumber Wikipedia, Indonesia memenangi Piala Thomas sebanyak 13 kali diikuti oleh China (7 kali), Malaysia (5 kali), Denmark (sekali) dan Jepun (sekali). Rashid Sidek dikatakan melakukan kejutan untuk meletakkan Malaysia di hadapan apabila menewaskan Ardy Wiranata 15-10, 15-4 sebelu"m Indonesia menyamakan kedudukan menerusi beregu Rudy Gunawan/Eddy Hartono.
Pada ketika itu, pasukan yang dipimpin oleh adik-beradik Sidek itu telah melakar kejayaan apabila berjaya merangkul kembali piala berprestij tersebut ke pangkuan Malaysia pada tahun 1992 setelah berjaya mengalahkan Indonesia 3- 2 pada final di Stadium Negara.

Dalam temubual dengan Bernama, Tan Sri Elyas Omar ada berkongsi rahsia di sebalik kejayaan Malaysia pada tahun 1992 itu;
"Karakter...ini adalah paling penting untuk pemain memilikinya untuk berjaya. Karakteristik penting untuk setiap pemain seperti dedikasi, pemikiran yang baik, rasa tanggungjawab, darjah kecerdasan (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan tahap persepsi (PQ) serta bagaimana mereka melihat diri mereka dan juga pemain lain.
Saya bertindak sebagai ahli psikologi dengan berbicara dengan setiap pemain mengenai prestasi masing-masing, bagaimana mereka akan beraksi dan mempersiapkan pemikiran mereka dan bukan hanya meletakkan mereka dalam gelanggang semata-mata.
Watak saya sebagai seorang ayah...memberi motivasi dan juga kaunseling serta menjaga kebajikan mereka kerana sukan adalah mengenai hubungan antara manusia...''
Tambah beliau lagi, beliau tidak akan berada di tepi gelanggan sebaik perlawanan bermula kerana beliau tidak mahu pemain berasa tertekan melihat kehadirannya.
Mengimbas kembali strategi yang diguna pakai ketika itu, Elyas berkata beliau sendiri campur tangan dalam menentukan barisan pemain dan menasihatkan jurulatih mengenai keupayaan setiap pemain pada kejohanan itu.
“Kalau hendak cakap tentang cara didikan arwah abah (Sidek) dulu, memang tegas. Pukul 6 pagi semua mesti dah bangun untuk latihan badminton, jam 7 pagi semua dah ada dalam court (gelanggang). Kalau disuruh bangun, tapi tidak bangun memang kena marah,'' jelas Rusitah, anak sulung kepada pasangan Sidek dan Rukinah Sulaiman.
Menurut Rusitah, arwah abahnya dulu memang menekankan aspek pemakanan. Waktu makan semua mesti ada tidak kira pagi atau tengah hari.
“Kalau ada pertandingan pula, telur setengah masak memang wajib untuk setiap seorang. Kalau tengok anak tak bermaya saja, dia suruh makan telur setengah masak..makan dan minum memang betul-betul dijaga,” katanya.
“Pada hari bakal berlangsungnya perlawanan, kami sekeluarga menaiki kereta untuk ke Kuala Lumpur. Kami tiba di Kuala Lumpur dan arwah abah sempat membawa kami singgah sebentar ke rumah rakannya yang tidak jauh dari stadium sebelum kami bertolak ke stadium. Bila masuk dalam stadium perasaan berdebar melihat pasukan Malaysia bermain memang ada,” katanya.
Detik dinantikan tiba apabila dinobatkan menjuarai Piala Thomas 1992 dan ketika itu sukar hendak meluahkan dalam kata-kata kerana ia adalah memori yang tidak boleh dilupakan masa itu apatah lagi dengan menyaksikan tiga beradik Razif, Jalani dan Rashid beraksi.

Rusitah memberitahu yang abah terus pergi ke arah mereka iaitu Razif, Rashid dan Jalani lalu memeluk mereka.
“Mengalir air mata kegembiraan saya waktu itu dan waktu itu juga saya berasa syukur mengenangkan tidak sia-sia pengorbanan abah mendidik anak-anaknya sehingga ke tahap ini. Didikan yang diberi berbaloi dan saya tidak pernah lagi lihat seorang bapa gigih mengajar anak-anaknya dalam badminton sehingga berjaya,” katanya.
Sumber Oleh: Malaysiakini / Sinar Harian / Wikipedia