Bagi Sesiapa Ada Gastrik, Amalkan 5 Tips Ini Kalau Nak Puasa Penuh
# Gaya Hidup

Bagi Sesiapa Ada Gastrik, Amalkan 5 Tips Ini Kalau Nak Puasa Penuh

post by Izuan

by Izuan

May 25, 2018
pada 7:31 AM

Bagi mereka yang menghidap gastrik, adalah satu masalah besar untuk mereka mendapat puasa penuh, serangan asid di dalam perut itu telah membataskan tempoh puasa untuk bertahan sampai waktu buka puasa dan menganggu 'perjalanan' Ramadhan. 

Namun begitu, Perunding Pembedahan Gastrointestin Pusat Perubatan Tropicana, Dr Kwan Keat Leong pernah berkata, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa tanpa sebarang masalah jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana. Jadi disini merupakan tips untuk cegah gastrik pada bulan puasa

1. Berbuka secara ringan

Kadangkala, sakit perut sewaktu berpuasa bukan disebabkan gastrik, tetapi tabiat makan seseorang apabila berbuka. Makan sedikit demi sedikit secara berperingkat-peringkat apabila berbuka supaya perut yang sehari berehat tidak “terkejut”. Sebaiknya berbuka dengan makanan yang ringan seperti kurma, air kosong, buah-buahan atau sup rendah lemak.

2. Ambil makanan yang mengandungi sulfur

Ramai beranggapan serangan gastrik lebih kerap berlaku pada Ramadan kerana apabila tiada makanan, tahap keasidan dalam perut bertambah. Anggapan ini kurang tepat kerana apabila berpuasa, keseluruhan sistem penghadaman kita berehat, bermakna rembesan asid hidroklorik dalam perut akan menurun.

Jadi seharusnya tidak timbul masalah sakit atau senak akibat keasidan perut yang tinggi. Seeloknya banyakkan pengambilan makanan yang mengandungi sulfur seperti brokoli, kubis dan bawang putih.

3. Elak minum minuman berkafein ketika berbuka

Elakkan dari minum minuman seperti kopi, teh. Ini kerana ia mengandungi kafein yang merupakan perangsang saraf dan sekaligus penyebab kelenjar jus gastrik di perut menjadi lebih aktif. Bagaimanapun ia boleh diambil selepas solat terawih bukannya ketika berbuka.

4. Elak makanan tinggi lemak

Elakkan makan makanan kompleks dan mendatangkan kerengsaan pada perut seperti makanan berlemak, pedas, masam, berempah, berminyak dan bergoreng. Ia akan menjejaskan kelancaran sistem pencernaan dan tidak hairanlah ramai mengadu sakit perut selepas berbuka. Seeloknya ambilah lauk atau juadah berbuka puasa yang rendah lemak.

5. Makan secara sederhana

Jika orang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya, jika sakit perut selepas makan, ia mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah. Makan secara sederhana, secukupnya dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Sebaik-baiknya, berhenti makan sebelum kenyang.