Tanam Cili Dapat RM30,000 Pada Tuaian Pertama! Wanita Ini Kongsi Kisahnya...
# Jenis Pekerjaan # Pengetahuan Pekerja # Trending Semasa

Tanam Cili Dapat RM30,000 Pada Tuaian Pertama! Wanita Ini Kongsi Kisahnya...

post by sofea

by sofea

Aug 8, 2021
pada 2:55 PM

Tanam Cili Dapat RM30,000 Pada Tuaian Pertama! Wanita Ini Kongsi Kisahnya...

Seorang ibu tunggal mengambil tindakan drastik dengan berhenti daripada kerja untuk mengusahakan tanaman cili padi. Wanita yang bernama Nur Hashimah Mahmood, 38 ini menjelaskan kepada Harian Metro:

“Walaupun terpaksa berpanas dan berhujan ia bukan masalah kerana sekarang saya memang bersemangat untuk berbakti kepada tanah. Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi kerana semua ini demi kelangsungan hidup saya. Saya pasti dan kerap berdoa supaya terus berjaya dalam bidang pertanian."

Sumber: Harian Metro

Semangatnya dalam melibatkan diri secara serius dalam bidang pertanian semakin memuncak setelah melihat kejayaan dengan pulangan lumayan rakannya yang mengusahakan tanaman cili di Kluang, Johor.

Sejak tiga tahun lalu, usahawan tani ini mengusahakan tanaman rock melon, timun dan cili merah di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dengan sokongan keluarga. Untuk memastikan perusahaan dapat dilakukan dengan baik, Hashimah mengikuti kursus teknik fertigasi yang dianjurkan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPK Kuala Langat sebelum menyewa tanah di Bukit Pelanduk seluas 1.2 hektar. 

“Buat permulaan saya mengeluarkan modal sebanyak RM24,000 untuk mengatur kelengkapan fertigasi termasuk membeli 2,000 anak pokok cili yang diuruskan PPK Kuala Langat.”

Kemudiannya, beliau menambah lagi sebanyak 4,000 pokok cili menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah 6,000 pokok cili. 

Beliau berkongsi tentang proses-proses yang dilakukan dalam perusahaan pokok cili:

“Setiap hari saya akan ke ladang untuk melihat dan memeriksa pokok cili. Saya memilih cili kerana mudah dijaga. Apatah lagi menggunakan kaedah moden yang tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai."

“Menggunakan penanaman secara fertigasi, saya tidak perlu membajak tanah, merumput mahupun meracun. Apabila sampai masa, saya akan menggantikan pokok lama dengan benih baru menggunakan beg semaian sama."

“Malah, sistem pengaliran air secara moden sangat menjimatkan tenaga kerja. Saya hanya perlu memasang alat jangka masa di tangki bekalan di mana ia akan membekalkan air secara automatik mengikut masa yang ditetapkan.”

Bagaimana dengan hasilnya? Cukup lumayan! Beliau mendedahkan yang penanaman cili tidak mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil yang kebiasaannya hanyalah dalam lima ke enam bulan. 

Jangan terkejut! Untuk tuaian pertamanya yang hanyalah melibatkan 2,000 beg semaian, beliau berjaya mengumpulkan sebanyak lima tan cili dengan hasil sebanyak RM30,000! Inilah yang memberikan dia semangat untuk lebih serius dalam bidang ni. 

Korang ingin berjaya seperti beliau? Jangan mudah berputus asa! Yang penting, rajin mencari ilmu yang sepatutnya sebelum memulakan sesuatu projek, supaya apa yang dilakukan dapat memberikan hasil yang optimum!