

by Ehsan
Buat mereka yang ingin melanjutkan kerjaya dalam bidang pengurusan sumber manusia, artikel ini bertujuan membimbing dan memberikan sedikit tips bagaimana untuk anda berjaya dalam bidang ini. Sekiranya anda ingin menjadi HR yang profesional, pilih institusi anda betul-betul. Untuk menjadi salah seorang daripadanya, senaraikan institusi-institusi yang menawarkan program HR dan mohon mengikut syarat-syarat ditetapkan. Selanjutnya, apabila anda memohon program ini, pastikan anda menilai permohonan mengikut Statement of Purpose (SOP) atau Penyata Tujuan dengan butiran yang cukup tentang kemahiran anda menguruskan manusia. Sebaik-baiknya, SOP anda tidak semestinya terlalu berbunga-bunga atau melewah-lewah. Lebih baik berpegang kepada fakta dan memasukkan butiran yang relevan mengenai pengalaman anda dalam menguruskan orang.
Banyak tempat atau syarikat-syarikat yang menawarkan program latihan industri atau praktikal di syarikat mereka. Jika boleh, buatlah sedikit research mengenai syarikat yang menawarkan latihan industri tersebut supaya dapat memberikan manfaat kepada anda untuk bekerja secara terus dengan polisi HR dan memahami bagaimana dunia HR yang sebenar. Selain itu, anda dapat juga bekerja dengan HR yang berpengalaman dan profesional.
Fasa seterusnya apabila anda menjadi salah seorang HR dalam sesebuah syarikat. Sebaik sahaja anda diterima bekerja, anda perlu ingat bahawa tidak secara terus tanggungjawab diberikan tetapi perlu berhubung dan belajar dengan staf yang lebih senior. Dunia pekerjaan tidak sama seperti apa yang dipelajari di institusi yang kebanyakan teori. Dunia pekerjaan dipelajari melalui pemerhatian dan praktis yang berterusan. Anda perlu menggunakan masa dengan sebaik mungkin, menerima pendedahan dan menyumbang seberapa banyak mungkin kepada organisasi. Apa yang penting, anda perlu menggunakan sepenuhnya peluang untuk menajamkan skil tanpa perlu melampaui batas.
Bercakap mengenai batas, salah satu skil yang perlu ada dalam diri seseorang HR profesional ialah dengan menghormati batas-batas (fizikal dan mental) antara manusia. Seseorang HR yang profesional itu dapat dibezakan apabila dia membezakan yang peribadi (personal) dengan profesional. Akhir sekali, apabila anda diberi tanggungjawab sendiri, sudah tiba masanya untuk meletakkan pengetahuan teoritis anda dan pendedahan praktikal semasa bekerja. Kebanyakan syarikat lebih berminat dengan pengetahuan teori dan pengalaman yang dipraktikkan dalam setiap interaksi berbanding teori di dalam buku sahaja.