Suri Rumah Ditahan Mencuri Makanan Dan Ubatan, Ketua Polis Ini Tampil Beri Bantuan Keperluan Asas
# Trending Semasa

Suri Rumah Ditahan Mencuri Makanan Dan Ubatan, Ketua Polis Ini Tampil Beri Bantuan Keperluan Asas

post by Haziqah Muhamad

by Haziqah Muhamad

Jan 21, 2021
pada 5:12 PM

Pada hari Rabu lepas, seorang wanita ditahan oleh pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Petaling Jaya kerana mencuri makanan dan ubat-ubatan untuk anaknya yang sakit di rumah. Mendapat laporan tersebut, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal terpanggil berjumpa dengan suri rumah tersebut yang tinggal di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Petaling Jaya.Suri Rumah Ditahan Mencuri Makanan Dan Ubatan, Ketua Polis Ini Tampil Beri Bantuan Keperluan Asas

Sumber gambar: Astro Awani

Melalui perkongsian Nik Ezanee di laman Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, beliau menghulurkan sumbangan bantuan makanan bekalan harian termasuklah beras dan juga ubatan.

“Jadi saya sediakan sedikit bantuan makanan bekalan harian. Terdapat beras dan sebuah kotak berisi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ‘Cool Fever’ juga untuk anak wanita ini”, jelasnya. Bantuan itu disampaikan pagi tadi, Khamis 21 Januari 2021.

Nik Ezanee sempat berpesan kepada wanita terbabit sekiranya mengalami sebarang kesusahan di masa depan agar terus cekal dalam menghadapi cabaran meneruskan kehidupan sepanjang tempoh pandemik ini.

“Susah-susah sangat datanglah ke balai polis,” ujar Ketua Polis itu sebelum meninggalkan kediaman wanita terbabit.

Difahamkan juga Nik Ezanee turut tidak mengambil sebarang tindakan lanjut terhadap wanita berkenaan melihat kepada situasi dan keadaan semasa wanita itu.

 

Sebelum ini, Nik Ezanee juga pernah menghadiahkan telefon bimbit kepada seorang pelajar yang berusia 14 tahun kerana kecurian telefon bimbit, wang tunai dan juga barang jualan burger di tempat dia bekerja semasa ke tandas. Difahamkan remaja terbabit mencari duit poket ketika cuti sekolah dengan bekerja sambilan di gerai burger. 


Sumber gambar: Sinar Harian

Tindakan beliau sebelum ini mendapat perhatian dan pujian warganet kerana bertindak adil dalam memahami situasi sebenar sebelum menjatuhkan hukuman.

Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal telah dilantik sebagai Ketua Polis Petaling Jaya yang baru pada Februari tahun lepas.