Ucapan Ketua Penting Sebagai Pendorong Semangat Dan Motivasi Kepada Orang Bawahan
# Others

Ucapan Ketua Penting Sebagai Pendorong Semangat Dan Motivasi Kepada Orang Bawahan

post by Zaki

by Zaki

Jan 22, 2025
pada 4:14 PM

Jeneral George S Patton, komander tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua dikenali sebagai antara tokoh dengan ucapan kata-kata semangat bagi meniupkan keberanian anggota tenteranya. Beliau menyampaikan ucapan spontan sekali gus karektor kepimpinan ini dilihat oleh anak-anak buahnya sebagai cukup meyakinkan sebagai komander perang. Antara ucapan bersemangat beliau di hadapan tenteranya ialah;

“Orang Amerika sukakan kemenangan dan tidak akan menerima kekalahan. Orang Amerika bersukan untuk menang sepanjang masa. Sebab itu orang Amerika tidak pernah dan tidak akan tewas mana-mana peperangan. Tewas adalah perkara yang paling dibenci oleh orang Amerika.” Patton menggunakan ucapan-ucapan seperti ini sebagai motivasi serta suntikan semangat bagi mengelakkan tenteranya hilang keyakinan semasa berperang.

Semasa pendaratan di Normandy, Perancis pada Julai 1944, beliau memimpin Kor Tentera Darat AS Ketiga yang tidak mempunyai pengalaman di medan tempur. Di bawah kepimpinannya, pasukan ini mengasak pertahanan Jerman sedikit demi sedikit pada bulan-bulan terakhir kempen Perang Dunia Kedua di Eropah. Kejayaan hebat paling diingati pasukan ini apabila membolosi pertahanan Jerman menyelamatkan tentera yang terkepung di Bastogne semasa Pertempuran Bulge di Belgium.

Sebab itu dalam menghadapi situasi getir, ucapan seseorang pemimpin memainkan peranan penting selain karisma kepimpinan beliau sama sepertimana seorang komander tentera di medan tempur.

Sama seperti ucapan Perdana Menteri Britain, Winston Churchill yang meniupkan kata-kata semangat kepada rakyatnya ketika menghadapi ancaman Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Frasa ucapan beliau ‘we will never surrender’ adalah paling diingati. Ia diucapkan secara spontan di Parlimen pada 4 Jun 1940 iaitu selepas pengunduran tragis tentera British dari Dunkirk, Perancis. Antara lain ucapan ini berbunyi;

“Walaupun beberapa negara di Eropah satu demi satu jatuh ke tangan Gestapo dan kini dikuasai Nazi, namun kita tidak akan tumbang atau tewas. Kita akan berjuang habis-habisan, kita akan berjuang di Perancis, di laut, kita akan melawan dengan penuh keberanian di udara, kita akan pertahankan pulau-pulau dengan apa cara sekali pun, kita akan berjuang di pantai, di darat dan juga di jalan-jalan serta di mana sahaja. Kita tidak akan menyerah.”  Ucapan kata-kata semangat Churchill telah mengembalikan keyakinan rakyat Britain melawan Nazi Jerman.