Sebab Pam Bahan Api Honda Malaysia Panggil Semula 77,000 Kenderaan
# Others

Sebab Pam Bahan Api Honda Malaysia Panggil Semula 77,000 Kenderaan

post by Zaki

by Zaki

Apr 30, 2021
pada 5:59 AM

Sebut sahaja jenama Honda, terbayang jentera buatan Jepun ini. Honda Malaysia pada tahun lalu mengekalkan kedudukan nombor satunya dalam segmen bukan nasional di negara ini untuk tahun keenam berturut-turut dengan menjual 60,469 unit kenderaan pada 2020. Pencapaian jualan yang mantap itu dipacu oleh model City yang mencatatkan jualan tertinggi dengan 34 peratus daripada jumlah jualan.  Model kedua paling laris keluaran Honda ialah Civic, diikuti HR-V dengan masing-masing menyumbang 20 peratus dan 17 peratus kepada jumlah jualan.

Pun begitu, baru-baru ini Honda Malaysia memanggil balik 77,708 unit kenderaan pelbagai model bagi tujuan penggantian pam bahan api, lanjutan daripada kempen sama yang dilaksanakan Jun tahun lalu. Model Honda yang terbabit dengan kempen itu merangkumi kenderaan yang dipasang pada 2018 hingga 2020. Honda Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi pelanggan terbabit.

Model terbabit adalah Accord model 2018 dan 2019 masing-masing 512 dan 780 unit; BR-V model 2018 dan 2020 masing-masing 7,112 dan 6-unit; City model 2019 sebanyak 30,388 unit; City (HEV) model 2019 sebanyak 390 unit. Selain itu, Civic model 2018 dan 2019 masing-masing 6,240 dan 2,776 unit; CR-V model 2019 dan 2020 masing-masing 9,843 dan 1,381 unit; HR-V model 2018 sebanyak 7,679 unit dan HR-V (HEV) model 2018 sebanyak 62 unit.

Turut terbabit ialah Jazz model 2019 dan 2020 sebanyak 5,791 dan 4,626 unit serta Jazz (HEV) model 2019 dan 2020 masing-masing 92 dan 30 unit.  Menurut Honda Malaysia, panggilan semula itu adalah langkah pencegahan untuk mengatasi kemungkinan terdapat kesukaran bagi menghidupkan enjin, kehilangan kuasa enjin atau kenderaan terhenti kerana pam minyak yang rosak. Bagaimanapun, sehingga kini, tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan susulan isu berkenaan di Malaysia.

Honda Malaysia turut menggesa pelanggan yang terbabit segera menghubungi mana-mana pengedar Honda bertauliah untuk membuat temujanji sebaik sahaja menerima notifikasi bagi menggantikan pam bahan itu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti terbabit. Penggantian pam bahan api ini adalah percuma dan semua kos berkaitan akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

Pada Jun 2020, Honda Malaysia memanggil semula bagi 55,354 unit kenderaan keluarannya untuk menggantikan pam bahan api sebagai langkah pencegahan sejajar dengan panggilan semula pam bahan api Honda di peringkat global.

Syarikat automotif itu dalam satu kenyataan berkata, antara model yang terlibat ialah Accord yang dikeluarkan pada 2018, BR-V (2018), City (2019), City (HEV) (2019), Civic (2018), CR-V (2018 dan 2019), HR-V (2018), HR-V (HEV) (2018), Jazz (2019), dan Jazz (HEV) (2019).