Nasib Graduan Baru Sudah 3 Kali Dibuang Kerja Dengan Notis 24 Jam Selama 2 Tahun


by Maukerja Team
Nasib Graduan Baru Sudah 3 Kali Dibuang Kerja Dengan Notis 24 Jam Selama 2 Tahun
Ditulis oleh: Nur Syamila Binti Kamarul Arefin
Ini adalah kisah Ana bukan nama sebenar yang ingin menceritakan kisahnya sepanjang dia bekerja dalam dua tahun ini selepas menamatkan ijazah dari universiti awam terkemuka dan bersyukur kerana diberi rezeki mendapat pekerjaan tetap dalam jurusan yang dipelajari.
Ana telah mendapat pekerjaan yang diidamkannya sebagai seorang wartawan di sebuah portal online yang dikenali ramai. Siapa sahaja yang tidak gembira kan, berpeluang menjadi wartawan dalam bidang yang dipelajari dengan gaji yang agak tinggi sebagai graduan baru.
Pada awalnya, Ana gembira namun persekitaran kerja ini sangat berbeza, tiada orang yang memberi tunjuk ajar cara untuk menulis dengan betul, pencarian berita, info semuanya kena berdiri dengan kaki sendiri.
Memang betul kena berfikir dan usaha sendiri, tetapi bagaimana hasil kerja nak berubah dan menjadi lebih bagus, tanpa ada bantuan dan orang yang membimbing. Setiap hari ada sahaja salah yang di cari, ditengking, bukankah seorang graduan baru perlu tunjuk ajar?
Namun setelah 10 bulan bekerja, Ana dipanggil ke bilik pemilik syarikat secara tiba-tiba, bayangkan mereka memberitahu prestasi kerjanya teruk, tiada perubahan dan diberhentikan dengan notis 24 jam begitu sahaja.
Lebih menyedihkan syarikat tersebut mengarahkan Ana untuk menulis surat notis 24 jam. Ya, sebagai graduan baru, banyak kesalahan yang dilakukan. Tetapi adakah tindakan yang dilakukan syarikat ini betul?
Ana berjaya mendapat pekerjaan baru sebagai penulis di sebuah portal hiburan, syukur sangat kerana masih lagi diberi peluang kedua.
Disini pula, hanya Ana seorang sahaja penulis, banyak tanggungjawab yang perlu dilakukan. Dari menulis, menjaga posting sosial media, melakukan tugasan pejabat semuanya berseorangan dengan dua orang boss yang tidak membantu apa-apa.
Apa yang dapat cumalah kesalahan yang ditegur, tengkingan dan bermacam-macam lagi. Berat sungguh ya ujian sebagai penulis baru yang tidak tahu apa-apa perlu belajar cara edit gambar sendiri, belajar menulis iklan, menulis berita cara bebas. Tiada training langsung yang diberikan.
Apakah nasib graduan baru seperti Ana atau yang lain di luar sana? Andai semua syarikat di luar sana berperangai sebegini.
Kali ini, Ana dipanggil boss di Starbucks yang berdekatan dengan pejabat untuk diberhentikan dalam tempoh 24 jam juga tanpa pampasan. Betapa kecewanya hidup Ana buat kali kedua.
Setelah lebih 10 bulan trauma, akhirnya Ana bangkit kembali memohon pekerjaan dalam bidang penulisan. Mungkin sudah tiba waktunya Ana melawan trauma sampai bila harus macam ini.
Ana mendapat peluang bekerja sebagai penulis di syarikat pengiklanan, ianya pengalaman yang sangat-sangat baru dalam hidupnya sepanjang dua kali bekerja. Namun syarikat ini juga memberi harapan terlalu tinggi kepadanya sedangkan Ana sudah mengatakan beliau budak baru yang perlu di bimbing bukannya dibiarkan seorang diri belajar.
Namun Ana berusaha, belajar dari pengalaman lepas, belajar dari syarikat iklan lain di media sosial bagaimana mereka membuat copywriting sendiri dan ditugaskan menguruskan media sosial juga. Namun gaji yang diberi tidak setimpal, lagi-lagi tiada tunjuk ajar langsung.
2 bulan Ana disini, Ana mendapat panggilan video call bersama bos dan juga pegawai sumber manusia, mengatakan mereka terpaksa memberhentikannya kerana rugi besar disebabkan Covid-19. Ana redha, dengan ketentuan tuhan.
Sebelum Ana berhenti pada tarikh yang ditetapkan, Ana berasa sangat pelik kerana one drive diceroboh orang lain, Ana bertanya kepada bosnya, namun dia tak mahu menjawab sekadar diam sahaja.
Nasib ada kawan-kawan yang baik hati memberitahu perkara sebenar mengenai pengganti Ana sebagai penulis. Luluhnya hati ini, ditipu begitu sahaja dan dibuang kerja.
Jika anda semua baca kisah Ana pasti ada yang berpandangan positif dan negatif. Namun satu sahaja yang mahu ditekankan di sini, tolong jangan aniaya pekerja, jujurlah dengan mereka kerana mereka juga punya hak, bukan senang-senang dibuang begitu sahaja.
Graduan baru seperti kisah Ana ini perlu dibimbing, tak semua orang dilahirkan terus pandai. Beri mereka peluang dan bimbinglah mereka, kerana pada masa depan bagaimana nasib mereka? Adakah tiada peluang langsung?