

by Ani
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 yang bakal berlangsung, ramai penjawat awam menanti dengan penuh harapan pengumuman mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Perkara ini amat dinantikan oleh lebih 1.6 juta kakitangan awam di seluruh negara, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar.
Salah satu inisiatif penting yang dijangka dalam Belanjawan 2025 adalah SSPA, satu sistem saraan yang dirangka untuk memperkukuhkan kedudukan sektor awam. Di bawah pelan ini, pelarasan gaji akan dilakukan secara berperingkat, dimulakan pada 1 Disember 2025, diikuti dengan fasa kedua pada 1 Januari 2026.
Pelarasan ini akan memberi kenaikan gaji sebanyak 15% kepada pegawai Kumpulan Pelaksana serta pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Manakala, pegawai di Kumpulan Pengurusan Tertinggi pula akan menikmati pelarasan gaji sekitar 7%.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah positif oleh kerajaan untuk menangani masalah kos sara hidup yang semakin meningkat dan memberikan kelegaan kepada penjawat awam.

Mazizul Dani, seorang pegawai penerangan berusia 38 tahun, berpendapat pelarasan gaji ini bakal membantu penjawat awam menghadapi kos hidup yang semakin tinggi. Beliau turut berharap Belanjawan 2025 akan turut merangkumi insentif tambahan seperti pengurangan cukai pendapatan yang lebih relevan bagi penjawat awam yang berpendapatan sederhana.
"Saya berharap kerajaan turut mempertimbangkan potongan cukai pendapatan yang bersesuaian untuk membantu penjawat awam yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup," ujar Mazizul.
Bagi Herlina Ainizawati Zakaria, seorang pegawai di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor, pelarasan gaji yang bakal dilaksanakan Disember ini adalah langkah yang baik. Namun, beliau juga berharap bantuan kewangan khas seperti Bantuan Akhir Tahun dan Bantuan Khas Aidilfitri dapat diteruskan, memandangkan bantuan-bantuan tersebut banyak meringankan beban kos penjawat awam, khususnya bagi yang mempunyai keluarga besar.
"Saya berharap kerajaan mengekalkan bantuan kewangan khas ini, lebih-lebih lagi dengan sesi persekolahan yang bakal bermula pada awal tahun depan, disusuli bulan Ramadan dan Aidilfitri dalam tempoh yang singkat," kata Herlina.
Marzukhi Mokhtar, seorang guru berusia 34 tahun, turut mengutarakan pandangannya tentang isu kemudahan kediaman penjawat awam. Beliau menjelaskan bahawa banyak kuarters kerajaan berada dalam keadaan yang kurang memuaskan dan memerlukan pembaikan segera.
"Kuarters di tempat saya sudah lama tidak diselenggara. Banyak kemudahan rosak dan keadaan rumah juga semakin uzur. Ada yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membuat pembaikan," kata Marzukhi.
Beliau berharap kerajaan akan memperuntukkan dana untuk membaik pulih kuarters penjawat awam supaya mereka dapat tinggal dalam keadaan yang lebih selesa, sekali gus meningkatkan produktiviti di tempat kerja.
Pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini adalah saat yang sangat dinantikan oleh penjawat awam di seluruh negara. Selain pelarasan gaji, ramai penjawat awam berharap kerajaan akan turut mempertimbangkan aspek kebajikan yang lain, seperti kemudahan perumahan, bantuan kewangan khas, dan langkah-langkah untuk membantu mereka menangani peningkatan kos hidup.
Belanjawan ini diharap dapat memberikan penyelesaian yang komprehensif terhadap cabaran yang dihadapi oleh penjawat awam dan membantu mereka untuk menjalankan tugas dengan lebih baik dan selesa.
Sebagai penjawat awam, pelarasan gaji melalui SSPA dalam Belanjawan 2025 sememangnya memberikan harapan baru dalam meringankan beban kos hidup. Namun, adalah penting juga untuk memastikan gaji anda setimpal dengan beban kerja dan pasaran semasa. Jika anda tertanya-tanya sama ada gaji anda selari dengan purata pasaran, anda boleh menggunakan Salary Checker untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kedudukan gaji anda. > Check gaji anda selari atau tak dengan purata pasaran disini

Sekiranya hasil semakan menunjukkan gaji anda berada di bawah purata atau kurang setimpal, jangan risau! Anda masih berpeluang tingkatkan karier kerjaya anda. Mohon kerja kosong dengan mudah melalui platform Maukerja je. Dengan tools Drop Resume yang disediakan, anda boleh menghantar resume anda terus kepada pelbagai majikan yang mencari pekerja baru. Inilah masanya untuk mengambil langkah seterusnya dalam kerjaya anda dan merebut peluang pekerjaan yang lebih baik!