KWSP - Perbezaan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3
# Pengetahuan Pekerja # Trending Semasa

KWSP - Perbezaan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3

post by Muni

by Muni

Jun 23, 2024
pada 2:05 PM

KWSP - Perbezaan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3

Pengenalan Kepada KWSP Dan Kepentingannya

Setiap kali berbicara mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Employees Provident Fund (EPF), pastinya ramai pekerja dan majikan teringat tentang caruman bulanan yang diambil daripada sebahagian gaji yang diterima. KWSP adalah dana persaraan yang bertujuan untuk membantu ahli mencapai persaraan yang selesa. Visi KWSP adalah jelas, iaitu untuk memastikan masa depan persaraan yang baik melalui caruman bulanan semasa ahli masih bekerja.

Pada 1 April lalu, kerajaan telah membenarkan Pengeluaran Khas sebanyak RM3,000 daripada Akaun 2. Kini, dengan penstrukturan semula KWSP yang memperkenalkan tiga jenis akaun simpanan, ramai yang ingin tahu perbezaan dan fungsi setiap akaun ini. Artikel ini akan memberikan penjelasan terperinci mengenai Akaun 1, Akaun 2, dan Akaun 3 KWSP.

Pembahagian Akaun KWSP: Akaun 1, Akaun 2, dan Akaun 3

Setiap kali anda mencarum pada KWSP, jumlah wang tersebut akan dimasukkan ke dalam tiga akaun berbeza iaitu Akaun 1 (Akaun Persaraan), Akaun 2 (Akaun Sejahtera), dan Akaun 3 (Akaun Fleksibel) dengan nisbah 75:15:10. Berikut adalah fungsi dan ciri-ciri setiap akaun:

i) Akaun 1 (Akaun Persaraan)

Akaun 1 atau Akaun Persaraan diwujudkan khusus untuk simpanan selepas bersara atau bagi tujuan pelaburan. Wang dalam Akaun 1 hanya boleh dikeluarkan apabila pencarum mencapai usia 55 tahun atau 60 tahun, bergantung kepada umur persaraan yang ditetapkan. Pencarum juga boleh menggunakan wang dalam Akaun 1 untuk pelaburan, namun ia adalah pilihan sendiri dan bukan paksaan. Biasanya, pencarum membiarkan simpanan dalam Akaun 1 ini membiak pada kadar 4% setahun.

Pencarum dinasihatkan untuk meletakkan penama atau waris bagi memudahkan urusan pengeluaran jika berlaku sebarang masalah. Antara penama yang boleh diletakkan adalah suami, isteri, ibu, anak-anak, adik-beradik, atau individu yang sesuai dijadikan waris.

Syarat-syarat untuk mengeluarkan wang dari Akaun 1 termasuk:

  • Kehilangan upaya fizikal atau mental yang membataskan untuk bekerja
  • Melepaskan kewarganegaraan Malaysia untuk berhijrah ke negara lain
  • Berlaku kematian yang membolehkan ahli keluarga menuntut bantuan kewangan

ii) Akaun 2 (Akaun Sejahtera)

Akaun 2 atau Akaun Sejahtera bertujuan untuk membantu pencarum membuat persediaan sebelum bersara. Pencarum boleh membuat pengeluaran apabila mencapai usia 50 tahun. Selain itu, pengeluaran awal juga dibenarkan untuk tujuan tertentu seperti:

  • Pembayaran pendahuluan pembelian rumah pertama
  • Menyelesaikan baki pinjaman rumah pertama
  • Membiayai pendidikan anak-anak atau diri sendiri
  • Menampung kos perubatan anak-anak atau diri sendiri
  • Menunaikan ibadah Haji (berkuatkuasa 1 Januari 2013)

iii) Akaun 3 (Akaun Fleksibel)

Akaun 3 atau Akaun Fleksibel diperkenalkan untuk kegunaan jangka masa pendek, terutamanya semasa kecemasan. Akaun ini memberi fleksibiliti kepada ahli untuk mengakses simpanan pada bila-bila masa sebelum mencapai usia persaraan yang ditetapkan, iaitu 55 tahun dan 60 tahun.

Penstrukturan semula akaun-akaun KWSP ini akan dikuatkuasakan bermula 11 Mei 2024, dengan pembahagian pecahan kadar caruman terbaru seperti berikut:

  • Akaun Persaraan: 75% – untuk simpanan hari persaraan
  • Akaun Sejahtera: 15% – untuk keperluan kitaran hayat semasa persaraan
  • Akaun Fleksibel: 10% – memberi fleksibiliti pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan jangka pendek

Dengan memahami perbezaan dan fungsi Akaun 1, Akaun 2, dan Akaun 3 KWSP, pencarum dapat merancang kewangan mereka dengan lebih baik untuk masa depan persaraan yang lebih terjamin. Setiap akaun mempunyai tujuan dan kelebihannya tersendiri, memastikan ahli KWSP mempunyai pilihan dan fleksibiliti dalam menguruskan simpanan mereka. Bagi maklumat lanjut, pencarum boleh merujuk laman web rasmi KWSP atau berhubung dengan pihak KWSP.

Tengah cari kerja dalam industri kerajaan? Klik disini untuk lihat semua jawatan kosong kerajaan!


drop resume

Pekerjaan Terkenal:

Panduan Kerjaya:

Lokasi: