6 Jenis Cuti Pekerja Yang Diperuntukkan Dalam Akta Pekerja

Pindaan Akta Pekerja 1955 pada tahun 2022 di Parlimen telah memperuntukkan pelbagai jenis cuti minimum yang meliputi semua pekerja kecuali yang terlibat dalam seksyen tertentu seperti peruntukan kerja lebih masa (overtime) atau faedah pemberhentian. Pindaan ini juga hanya terpakai kepada pekerja tertentu seperti mereka yang bekerja dalam pekerjaan manual atau yang bergaji bulanan kurang dari RM4,000.
Percaya tak bahawa masih ramai pekerja yang tidak tahu hak mereka berkaitan cuti yang berhak untuk mereka? Jadi, hari ini kami akan berkongsikan 6 jenis cuti yang berhak untuk pekerja mengikut Akta Pekerja 1955.
6 Jenis Cuti Yang Berhak Untuk Pekerja Tahu
1. Cuti Rehat Mingguan
Setiap pekerja perlu dibenarkan untuk mendapat sekurang-kurangnya satu hari rehat setiap minggu. Ini termaktub di dalam Akta Pekerja 1955, Bahagian 59. Jika pekerja diarah bekerja pada hari rehat tersebut, bayaran tambahan perlu dibuat (rujuk Seksyen 60(3) Akta Kerja 1955).
Jika anda tidak pernah mendapat cuti rehat mingguan, anda boleh melaporkan isu ini ke Jabatan Buruh. Penting untuk pekerja memahami pindaan akta terkini supaya majikan tidak menggunakan tenaga kerja anda secara percuma.
2. Cuti Umum Bergaji
Anda pasti ingat cuti sempena Tahun Baru Cina 2023 baru-baru ini, bukan?
Cuti kelepasan am ini jatuh pada 22 Januari, hari Ahad, jadi cuti tersebut dipinda ke hari berikutnya (Isnin). Namun, kerana hari Isnin juga merupakan cuti umum, ia dipinda lagi ke hari Selasa. Pelbagai isu dan persoalan berbangkit tentang cuti ini, tetapi jika pekerja cakna dengan akta yang telah ditetapkan, tidak akan timbul masalah.
Menurut Bahagian 60D Akta Pekerja 1955, pekerja berhak mendapat 11 hari cuti umum berbayar, termasuklah:
- Hari Kemerdekaan
- Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong
- Hari Keputeraan Yang Di-Pertua Negeri atau Pemerintah
- Hari Buruh
- Hari Malaysia
Menurut Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951, pekerja juga berhak mendapat cuti pada mana-mana hari yang ditetapkan dalam tahun tersebut.
3. Cuti Tahunan Bergaji
Seksyen 60E (3B) Akta Kerja 1955 menyatakan bahawa pekerja tidak layak mendapat cuti tahunan jika gagal hadir bekerja tanpa alasan munasabah sebanyak 10% daripada jumlah kehadiran sepatutnya dalam tahun perkhidmatan semasa. Jumlah cuti tahunan yang berhak ke atas pekerja adalah:
- 8 hari untuk pekerja yang bekerja kurang dari 2 tahun
- 12 hari untuk pekerja yang bekerja antara 2 hingga 5 tahun
- 16 hari untuk pekerja yang bekerja lebih dari 5 tahun
Baca Juga: Cuti Sakit Dan Kelayakan
4. Cuti Sakit Bergaji
Jika anda jatuh sakit, anda layak mendapat cuti bergaji. Mengikut Seksyen 6F, Akta Pekerja 1955, pekerja berhak menerima cuti sakit seperti berikut:
- 14 hari untuk pekerja yang bekerja kurang dari 2 tahun
- 18 hari untuk pekerja yang bekerja antara 2 hingga 5 tahun
- 22 hari untuk pekerja yang bekerja lebih dari 5 tahun
Jika pekerja memerlukan rawatan di hospital, mereka berhak mendapat cuti bergaji tidak melebihi 60 hari. Perlu diingatkan, kelayakan cuti sakit ini tidak boleh diproratakan jika pekerja meninggalkan syarikat pada tahun tersebut.
5. Cuti Bersalin
Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021 meluluskan fasal 12 yang memanjangkan cuti bersalin kepada 98 hari. Pekerja wanita berhak mendapat elaun bersalin dengan kadar gaji biasa mengikut syarat kelayakan seperti berikut:
- Anak tidak melebihi 5 orang
- Berkhidmat sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh 9 bulan mengandung
- Diambil bekerja dalam tempoh 4 bulan sebelum bersalin
- Memaklumkan tarikh mula bersalin dalam tempoh 60 hari sebelum (jika tidak ada makluman, majikan berhak menyekat elaun bersalin)
- Usia kandungan tidak kurang dari 22 minggu (sama ada bersalin, gugur, hidup atau mati)
6. Cuti Paterniti
Selain cuti bersalin untuk pekerja wanita, pekerja lelaki juga berhak mendapat cuti paterniti. Menurut pindaan 60FA akta yang diluluskan di Dewan Rakyat, pekerja lelaki yang telah berkahwin layak mendapat cuti paterniti sebanyak 7 hari dengan syarat:
- Terhad kepada 5 kali berpantang
- Berkhidmat dengan majikan yang sama sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum permulaan cuti
- Memaklumkan kepada majikan tentang kehamilan isteri 30 hari sebelum atau seawal mungkin selepas kelahiran
Jelaslah bahawa pekerja mempunyai pelbagai hak cuti di bawah Akta Pekerja 1955. Selain itu, terdapat juga cuti lain yang tidak digubal dalam akta seperti cuti kecemasan, cuti belajar, dan cuti sukarelawan. Untuk maklumat lanjut mengenai cuti tambahan ini, pekerja boleh merujuk polisi syarikat masing-masing.
Baca Juga: Cuti Tanpa Gaji Syarat Dan Cara Permohonan
Perubahan pada Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022)
Bermula 1 Januari 2023, Cuti Sakit dan Cuti Hospitalisasi telah diasingkan, membolehkan pekerja mendapat tempoh rawatan dan pemulihan yang mencukupi. Jumlah cuti sakit berbayar yang layak diterima oleh pekerja dalam setahun boleh meningkat berdasarkan tempoh perkhidmatan mereka:
- Kurang dari 2 tahun: 14 hari Cuti Sakit + 60 hari Cuti Hospitalisasi = 74 hari
- Kurang dari 5 tahun: 18 hari Cuti Sakit + 60 hari Cuti Hospitalisasi = 78 hari
- Lebih dari 5 tahun: 22 hari Cuti Sakit + 60 hari Cuti Hospitalisasi = 82 hari
Pekerjaan Terkenal:
Jawatan Kosong Kerajaan|WFH Customer Service|Kerja Dari Rumah|Kerja Fresh Grad|Sales|Marketing|Admin|F&B|Kerja Freelance|Pekerjaan Hybrid |Kerja Sepenuh Masa|Kerja Separuh Masa|Internship|Kerja Kontrak|Apprenticeship|Cari Lebih Banyak Pekerjaan











